
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin kemasukan bekas pemimpin UMNO yang popular dan berpengalaman ke dalam PAS akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.
Perikatan Nasional (PN) sentiasa membuka pintu luas untuk bekas-bekas pemimpin UMNO yang mahu bersama sekiranya selari dengan perjuangan mereka.
Malah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada keperluan untuk berunding lagi.
“Depa (mereka) mai (datang) intai kita (PN) dan kita terbuka…kira terima siapa saja yang relevan dan selari dengan perjuangan kita.
“Tak payah berunding apa dah, datang saja dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.
Sebelum ini terdapat khabar angin yang menyebut beberapa figura besar seperti bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; bekas pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar serta bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin berminat menyertai PN dan komponennya, PAS.
Mengulas lanjut Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata bekas-bekas pemimpin tersebut dilihat sudah tiada jalan lain selain bersama-sama PN untuk menentang PH-BN.
“Itu (kehadiran mereka) bukan pancing, tetapi mereka yang lompat ke darat. Apabila batu jatuh dalam air, semua-semua ini akan melompat keluar, ibarat macam itulah.
“Saya berpandangan, dalam politik negara sekiranya sudah tiada jalan lain selain mengikut kita (PN), sebab semuanya berdepan jalan mati.
“Yang sedang hidup hanya PN, silalah datang Khairi Jamaluddin, Annuar Musa dan Noh Omar…anda amat dialu-alukan,” katanya.
Malah beliau turut yakin ketiga-tiga pemimpin itu mampu membawa pengundi UMNO kepada PN seperti yang dilakukan bekas pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim pada PRU-15 lalu.
“Mereka boleh bawa pengundi UMNO kepada PN, memang itu kelebihan mereka. Contohnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyebabkan sebahagian besar orang Perlis ikut perjuangan beliau.
“Noh pula sudah pun umumkan mahu jadikan Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN. Annuar pula ada kelebihan di Ketereh dan beberapa tempat lain. Kita akui ada kelebihan masing-masing, datanglah dengan suci hati dan ikhlas. Cabut akar umbi sekali mai, jangan mai perdu (mereka) saja,” katanya.