
Bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengingatkan bekas rakan seperjuangannya supaya tidak memilih ‘pak turut’ atau ‘tukang angguk’ dalam pemilihan parti itu akan datang.
Sebaliknya kata beliau, mereka mesti memilih calon terbaik yang berani membawa suara akar umbi yang mungkin tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan.
Menurutnya penting bagi ahli parti memilih calon berani bersuara dan tidak akan menjadi ‘pak turut’ atau ‘tukang angguk’ dengan hanya sekadar mengikut rentak sahaja.
“Jawatan naib presiden dan mungkin pembentukan Majlis Tertinggi ini boleh mencerminkan harapan bahawa ada usaha untuk membawa pembaharuan, walaupun jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
“Perwakilan boleh bangkit untuk menggunakan jawatan ini sebagai suatu ‘proxies’ untuk menyatakan sebenarnya ada sesuatu yang tidak betul dalam parti.
“Kita nak melihat calon yang boleh membawa suara dari akar umbi yang mungkin tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan” yang dimuat naik hari ini (9 Mac 2023).
Dalam pada itu, Shahril yang digantung keahlian parti selama enam tahun berkata, ahli UMNO tidak seharusnya mengundi calon yang akan memilih perjuangan mereka.
“Kami mahu calon yang berani bersuara serta mempunyai kredibiliti. Kami tidak mahu mereka yang memilih perjuangan hanya apabila merasakan ia selesa untuk mereka,” katanya menurut laporan FMT.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO Januari lalu, parti itu meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian bersama pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak 11 Mac ini.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa UMNO bahagian bersama pemilihan ahli MKT UMNO pula akan diadakan 18 Mac ini.