
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin kemasukan bekas pemimpin UMNO yang popular dan berpengalaman ke dalam PAS akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.
Beberapa bekas pemimpin UMNO yang berpengaruh dalam politik tanah air dan memiliki banyak pengalaman di peringkat negeri dan Pusat, tetapi telah dipecat daripada parti itu, dijangka menyertai PAS tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini (7 Februari 2023) memberi bayangan penyertaan bekas pemimpin UMNO itu ke dalam PAS, namun tidak menamakan mereka.
Beliau lebih awal mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam PAS dan menyifatkannya mampu memberi impak positif, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar Kedah itu beranggapan pemimpin berkenaan yang dipecat daripada parti tersebut merupakan individu hebat termasuk berpengalaman dan berpengaruh.
“Kesan positif (penyertaan bekas pemimpin UMNO) kerana yang dibuang daripada UMNO orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat, KJ (Khairy Jamaluddin)?
“Siapa kata tak hebat… Siapa kata Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, Hishamuddin tidak hebat? Semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia.
“Prestasi KJ, berapa lama beliau jadi menteri, orang hebat, kalau dapat menyertai Perikatan Nasional (PN). Apa dia nak jadi pun Alhamdulillah, terima kasih.
“Saya harap ia menjadi kenyataan, orang baik mai (dipersilakan), orang tidak bagus pergi berhimpun belah sana (Pakatan Harapan),” katanya menurut Utusan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah di Pendang, hari ini, sebagai mengulas kenyataan Khairy bahawa beliau menerima tawaran untuk bertanding pada PRN Selangor tanpa menyebut nama parti terlibat.
Sementara itu, mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sokongan pengundi Melayu kini bertambah, katanya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan sejak UMNO bekerjasama dengan gabungan tersebut.
“Dia ambil (sekali) yang (mengundi) UMNO masuk situ (dalam peratusan dinyatakan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi (Parlimen) campur (parti komponen) BN, empat kerusi, (keseluruhan semua) jadi 30 (kerusi).
“(Anwar) ambil yang itu (sebenarnya), bubuh (masukkan) di situ, jadi banyak (sehingga dapat 31 peratus), (dia buat) macam orang tidak tahu. (Sebenarnya) tidak perlu cakap kami pun dapat sokongan orang Melayu, (sekarang semua boleh) tengok sendiri, (semua) orang tahu,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima sebanyak 31 peratus undian daripada pengundi Melayu, dan data berkenaan akan dikemas kini dalam tempoh seminggu dua lagi.