
Satees antara nama penyandang yang digugurkan pada PRN Pulau Pinang, bulan depan. Gambar FB Satees Muniandy
Ada seseorang yang bermaharajalela di Pulau Pinang hingga boleh membuat keputusan sesuka hatinya, dakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang digugurkan pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy melabel ‘seseorang’ itu sebagai ‘maharaja’ dan mendakwa individu itu berkuasa penuh untuk menentukan senarai calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.
“Senarai yang dikeluarkan bukan keputusan (DAP) negeri. Ini adalah keputusan seorang dan keperluan seseorang itu. Peremajaan itu bagus tapi jangan jadikan ia ‘alasan’ untuk buat apa yang maharaja itu mahu.
“Setakat ini pencapaian Pulau Pinang membanggakan tetapi itu bukan alasan untuk kita benarkan mana-mana diktator bermahrajalela di Pulau Pinang. Kita ada demokrasi di Pulau Pinang, kita tidak perlukan maharaja di Pulau Pinang,” katanya pada satu sidang media, hari ini.
Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan 10 penyandang dikekalkan, tujuh ADUN digugurkan di mana lima daripadanya adalah exco negeri.
Menurut Satees yang baru satu penggal menjadi wakil rakyat, beliau ‘dipotong’ daripada menjadi calon kerana tidak berada dalam kem maharaja tersebut.
“Saya bukan dalam kem maharaja jadi saya kena ‘potong’ tapi saya nak beritahu maharaja, anda tidak akan selamanya jadi maharaja. Rakyat Pulau Pinang tidak bodoh
“(Boleh namakan maharaja itu?) Anda tahu siapa, tapi pada masa ini saya nak namakannya maharaja dulu…Dia akan merosakkan Pulau Pinang sebab dia dibenarkan apa saja dia nak buat sesuka hati,” katanya.
Beliau turut memberitahu mungkin satu kebetulan apabila enam daripada tujuh ADUN yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu akhbar bahasa Cina sebelum ini digugurkan.
Satees secara sinis sempat berkata meski berprestasi cemerlang sepanjang bergelar wakil rakyat namun dia terlupa untuk ‘membodek’ bagi memastikan dirinya kekal sebagai calon.
“Walaupun prestasi bagus tetapi saya rasa saya telah tertinggal satu perkara dalam lima tahun ini yang mungkin menyebabkan saya tidak terpilih sebagai calon.
“Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa seorang pemimpin pergi sana sini dan saya tidak bawakan beg untuk seorang pemimpin itu.
“Saya tidak tahu itu adalah kriteria untuk dipilih sebagai calon. Kalau saya tahu pun tak mungkin saya akan buat, kita semua ada maruah diri,” katanya.
Tambahnya, “mereka boleh kata ini peremajaanlah…saya 38 tahun, calon-calon yang dipilih untuk bertanding di Bagan Dalam 45 dan di Perai 61 tahun.”