
Ahli perniagaan Jho Low diburu dalam siasatan 1MDB, sementara Datuk Seri Najib Razak kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Buat sementara waktu ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengulas lanjut berhubung isu melibatkan kedudukan lokasi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, seperti dilaporkan media.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mengesahkan berhubung laporan beberapa media baru-baru ini yang mendedahkan keberadaan Low yang dikehendaki pihak berkuasa dalam siasatan jenayah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Perkara itu dalam makluman kami (KDN), itu memadai untuk apa-apa urusan akan datang, namun (pengesahan keberadaan Jho Low bukan keluar dari mulut saya.
“Apa pun kita akan mengikut langkah sewajarnya, buat masa sekarang kekal begitu.
Kita tidak bercadang untuk ulas lanjut perkara ini,” katanya dipetik laporan media.
Saifuddin Nasution terdahulu meninjau Kaunter Khas Jemaah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Sebelum ini, pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’, Bradley Hope, mendakwa Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China.
“China mengawal Jho Low dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan,” katanya dipetik FMT.
Hope berkata, daripada aset risikan, Low yang juga individu paling dikehendaki kini menjadi liabiliti selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa dan dimasukkan ke penjara tahun lalu.
Semalam, laporan Al Jazeera memetik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai berkata, Low dipercayai bersembunyi di Macau.
Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan AS$4.5 bilion dana 1MDB.
Beijing sebelum ini menafikan melindungi Jho Low.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber SPRM malam tadi dilapor mengesahkan bekas pembantu Low yang memaklumkan pihak berkuasa Malaysia mengenai keberadaan ahli perniagaan itu di Macau, Kee Kok Thiam, meninggal dunia.