Kit Siang umum bersara, tidak lagi bertanding pilihan raya selepas ini

Lim Kit Siang hari ini mengumumkan persaraannya dalam pentas politik negara semasa berucap dihadapan perwakilan semasa Kongres DAP.

Pemimpin veteran DAP itu juga tidak akan bertanding dalam mana-mana kerusi pada pilihan raya umum (PRU) nanti, disamping menarik balik sebarang pertandingan jawatan semasa Kongres DAP yang berlangsung.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik. Saya menarik diri dari bertanding pilihan jawatankuasa pusat hari ini – sila padamkan no 39 dari senarai calon jawatankuasa pusat anda.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya parlimen atau negeri di masa hadapan,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata dia telah bersama DAP selama 56 tahun dan telah menyaksikannya berkembang daripada parti kecil menjadi pembangkang utama yang bersama-sama menubuhkan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Kit Siang memulakan kerjaya sebagai seorang ahli politik ketika menjawat jawatan sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dari 1966 hingga 1969.

Pada masa yang sama beliau juga diamanahkan untuk menyunting akhbar parti itu, The Rocket.

Laluan landskap politik berubah apabila beliau dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Agung pada tahun 1969 selepas bertindak sebagai Setiausaha Agung untuk tempoh yang singkat dalam tempoh yang bergolak dalam sejarah negara.

Kit Siang dipilih pertama kali sebagai Ahli Parlimen untuk kerusi Bandar Melaka pada tahun 1969.

Beliau pernah bertanding di beberapa kerusi parlimen dan juga pernah tewas beberapa kali dalam pilihan raya.

Antara kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya, Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling Jaya, Selangor (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong, Pulau Pinang (1986–1999), Ipoh Timur, Perak (2004–2013), Gelang Patah, Johor (sejak 2013) dan Iskandar Puteri, Johor (2018).

BERITA BERKAIT
POPULAR