Kit Siang tidak puas hati tiada undi percaya di Dewan Rakyat

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri yang tidak dibawa ke Dewan Rakyat pada 13 September ini dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh pihak kerajaan.

Kit Siang membidas alasan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung isu usul undi percaya tersebut dengan menyifatkannya tidak masuk akal.

“Sekiranya Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di parlimen seperti yang didakwa oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen dan Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?

“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketiadaan usul undi percaya terhadap Ismail Sabri disahkan apabila ianya tidak ada dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bersidang mulai 13 September ini.

Demikian juga tiada usul untuk mengosongkan jawatan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Berdasarkan kertas aturan mesyuarat, agenda pertama ialah membahas titah Yang di-Pertuan Agong disusuli memilih Timbalan Speaker Parlimen.

Semalam, Wan Junaidi dilapor memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya undi percaya terhadap Ismail Sabri sebagai PM, tidak dilaksanakan.

Menurut laporan itu beliau mendapat tahu perkara berkenaan setelah diberitahu sendiri oleh PM kepadanya ketika mesyuarat Kabinet pertama sebelum ini.

Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan bahawa Perdana Menteri yang bakal dilantik hendaklah mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat secepat mungkin untuk mengabsahkan kedudukannya mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR