
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak suatu ketika dahulu. - Gambar FB Zahid
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan apa yang berlaku kepada rakan baiknya Datuk Seri Najib Razak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan parti itu.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata kisah berkenaan akan menjadi azimat kepada UMNO untuk terus berganding bahu dan lebih bersemangat dalam perjuangan.
“Kisah Najib Razak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan mengembalikan kemakmuran di bumi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Selasa, 23 Ogos lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dihantar terus ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020 menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Selasa, mengekalkan sabutan dan hukuman itu.
Mengulas lanjut, Zahid membidas pembangkang yang mahu menamatkan riwayat UMNO setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka pernah menyatakan UMNO telah tiada dan sudah berakhir. Mereka mahu menamatkan terus riwayat UMNO, namun berkat keazaman bersama kita berjaya menghalanginya.
Namun, katanya pimpinan UMNO yang setia kepada perjuangan parti tidak tunduk dan mengalah.
“Termasuk Najib yang telah begitu banyak berjasa kepada UMNO yang kini dipenjarakan. Mereka menjangkakan api kemaraan UMNO akan terpadam dengan pemenjaraan Najib.
“Mereka mengharapkan muslihat mereka akan lebih mudah dicatur dan terlaksana, (namun) ternyata mereka tersilap mengatur percaturan.
“(Namun) sebaliknya kisah itu (Najib) akan menjadi azimat penguat untuk kita terus bersama dan lebih bersemangat dalam berjuang,” kata Zahid memuat naik gambar bersama Najib suatu ketika dahulu.