Kini, pembangkang mahu Agong minta PM letak jawatan ganti Anwar

Pakatan Harapan menanti Ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ditabal Perdana Menteri baharu sebaik Parlimen dibuka nanti.

Selepas menggesa supaya sidang Parlimen dibuka, kini blok pembangkang mahu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) pula atas alasan kononnya tidak ada majoriti.

Gesaan tersebut dinyatakan Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan yang mendakwa Muhyiddin tidak memiliki majoriti di Dewan Rakyat dan Agong boleh melaksanakan budi bicaranya untuk meminta peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sekiranya Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka adalah jelas bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti yang mewajarkan YDPA melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan meminta Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dipercayai, gesaan tersebut bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi PM memandangkan beliau adalah calon utama blok pembangkang itu.

Dalam kenyataan yang ditandatangani tujuh pemimpin pembangkang itu yang terdiri daripada DAP, Amanah dan PKR, mereka menyifatkan tindakan tidak memanggil sidang Parlimen dengan segera adalah salah guna kuasa.

“Keengganan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinet untuk memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu adalah satu salah guna kuasa.

“Tiada alasan munasabah dalam menolak memanggil sidang Parlimen segera. Alasan melengahkan persidangan Parlimen sehingga bulan September tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah satu taktik melengah-lengahkan yang merupakan satu penolakan salah,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, sidang Parlimen itu wajar memandangkan semua 220 Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima vaksin dan tiada lagi bahaya jangkitan Covid-19.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sudah memberi komitmen untuk membuka sidang Parlimen secepat mungkin dan akan menjunjung titah YDPA untuk memastikan demokrasi terus subur.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah persediaan untuk membuka sidang Parlimen sedang dijalankan, malahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi komitmen yang sama sebelum ini dan menunggu masa yang sesuai bagi memastikan isu Covid-19 dapat ditangani dengan baik.

Terdahulu, Agong menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah baginda, Parlimen berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

POPULAR