
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu menumpukan perhatian terhadap ‘rumah sendiri’ berbanding terlampau memikirkan tentang pendekatan ‘khemah besar’ pembangkang seperti yang diutarakan pimpinan kanan Pakatan Harapan.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pendekatan tersebut belum tentu menjanjikan kemenangan bagi pembangkang dalam pilihan raya umum ke-15 nanti.
“Kita beri keutamaan pada rumah kita dulu Warisan, kita tidak boleh terlalu fikir tentang khemah besar sana, khemah besar sini. Ada khemah besar di Melaka kalah, ada khemah besar di Sarawak pun kalah.
“Ini bukan soal khemah tetapi apa yang rakyat mahukan adalah pilihan, mereka mahu perubahan dalam kepimpinan,” Shafie dipetik oleh Sinar Harian.
Tegas Shafie, keputusan terletak di tangan pengundi dan blok pembangkang seharusnya mendengar kehendak kuasa penentu tersebut.
“Saya rasa rakyat sudah putuskan bahawa tiada pilihan, jadi kita kena lihat perkara itu. Kita tidak boleh gesa orang untuk terima apa yang kita mahu, kita kena sesuaikan dengan perubahan, kemahuan di akar umbi.
“Rakyat mahu sesuatu yang berbeza, mereka mahukan perubahan, bukan sekadar kata-kata tetapi perbuatan,” katanya.
Pendekatan “khemah besar pembangkang” ini seringkali disuarakan oleh beberapa pimpinan utama PH termasuklah Ketua Pembangkang dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dan juga Pengerusi Kebangsaaan DAP Lim Guan Eng.
PAN dan DAP juga sebelum ini berulang kali mendesak untuk PH bergabung dengan parti pembangkang lain seperti Warisan dan juga Muda.