‘Khemah Besar’ akan gagal, UMNO sedia hadapi sebarang kemungkinan

Usaha untuk mewujudkan “Khemah Besar” dengan menyatukan semua parti lawan akan gagal, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata usaha pembangkang untuk duduk dibawah satu gabungan besar bagi menentang UMNO tidak semudah membuat “pisang goreng”, bagaimanapun UMNO sedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk berdepan parti lawan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, menjadi perkara biasa bagi parti politik mencari jalan dan apa juga kaedah untuk menghadapi PRU serta lawan mereka juga perlu bersiap sedia dengan strategi tersendiri.

“Dalam politik, ada dua perkara. Satu, tidak pernah berhenti berfikir dan kedua, politik adalah seni segala kemungkinan, jadi mereka (PH) kena cari jalan dan apa jua kaedah untuk hadapi PRU.

“UMNO tetap bersedia untuk bersaing dengan strategi tersendiri, sekiranya ia benar-benar berlaku nanti.

“Di pihak PH, kalau mereka ada khemah besar, itu kita anggap sebagai persaingan, tetapi saya tak fikir untuk membina khemah besar ini semudah nak buat pisang goreng. Apa pun kita kena hadapi dan ada persediaan serta strategi kita,” katanya dipetik Berita Harian.

Pembangkang kini sedang berusaha untuk menggabungkan semua parti untuk duduk dibawah satu “Khemah Besar”, ia susulan prestasi buruk parti pembangkang dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Untuk rekod, perpecahan dikalangan parti pembangkang nyata memberi kelebihan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN), ia terbukti menerusi keputusan tiga PRN di Melaka, Sarawak dan Johor yang lalu.

Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, pendekatan “Khemah Besar” Pakatan Harapan (PH) tidak termasuk kerjasama dengan parti dalam kerajaan, sama ada UMNO, Bersatu atau PAS kerana ia tidak mungkin bekerjasama dengan pengkhianat yang jelas mengkhianati amanah serta mandat rakyat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaaf dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan “khemah besar” sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Salahuddin menyarankan gabungan terbabit membuka pintu rundingan dengan semua parti pembangkang, termasuk Bersatu dan PAS, bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi BN.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti politik, ia dipercayai bagi membincangkan berhubung sebarang kemungkinan bentuk kerjasama untuk berdepan UMNO-BN pada PRU-15 nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR