
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Selepas Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bakal bertanding kerusi Parlimen Rembau, nampaknya Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan penyandang kerusi tersebut menyedari mesej yang cuba disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO itu
Khairy yang juga Menteri Kesihatan itu berkata berkemungkinan senario terburuk adalah beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) depan nanti dan tidak mahu menceroboh kawasan orang lain hanya semata-mata untuk bertanding.
“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (Timbalan Presiden Umno) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan.
“Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.
“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya dipetik laporan media FMT hari ini.
Untuk rekod, Khairy menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008.
Terdahulu, Mohamad atau dikenali juga sebagai Tok Mat mengesahkan bakal membuat penampilan bertanding di peringkat kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya.
Mohamad berkata selaku Timbalan Presiden UMNO sewajarnya untuk beliau bertanding kerusi Parlimen, namun tidak mendedahkan secara jelas kerusi mana satu yang bakal ditandinginya nanti.
“Insya-Allah, saya akan terus pertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU15 ini. Kerusi Rantau ini, imbangan penduduk itu menggambarkan seperti Malaysia, orang Melayu, Cina dan India itu ramai.
“Jadi ia perlu diuruskan dengan baik dan saya yakin pengundi di Rantau akan terus berikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
“Memandangkan saya sebagai Timbalan Presiden parti, seharusnya juga saya perlu untuk bertanding di peringkat kawasan Parlimen, untuk saya memainkan peranan dan perlu berada di peringkat kebangsaan untuk mengurus parti dan insya-Allah jika diberikan keyakinan oleh pengundi untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.
Terdahulu, terdapat spekulasi mengatakan Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat akan bertanding di kerusi Rembau, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau.