
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menegur Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri paling lemah pernah UMNO ada.
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menegur Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang membuat kenyataan keras terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya Nur Jazlan tidak sepatutnya bercakap sedemikian kerana tindakan itu langsung tidak membantu UMNO untuk menampakkan parti itu bersatu padu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Perkhidmatan Otorinolaringologi dan Makmal Tidur Kluster Negeri Sembilan di Hospital Rembau, Khairy berkata banyak saluran lain yang boleh digunakan untuk menyampaikan sesuatu pandangan, termasuk kepada presiden atau Perdana Menteri sendiri.
“Yang terbaik adalah saluran dalaman, terutama apabila ia membabitkan komen mengenai kepemimpinan parti atau negara yang sekarang diterajui oleh Perdana Menteri dari UMNO.
“Jadi, saya harap sikap daripada pemimpin UMNO harus menampakkan penyatuan yang lebih jitu. Saya dulu pun banyak komen tetapi sekarang adalah masa untuk kita bina semula parti. Kalau tidak setuju, boleh cakap dalam mesyuarat atau secara peribadi.
“Tidak perlu kita lemahkan parti kita dengan komen yang tidak konstruktif di khalayak dan media. Lebih baik kita mainkan peranan yang proaktif kepada parti dan beri tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat,” katanya dipetik sebagai berkata.
Semalam, Nur Jazlan dilaporkan melabelkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO yang paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
“Tidak pernah seorang Perdana Menteri UMNO selemah ini dalam sejarah negara. Senario yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini dilihat bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah,” kata Nur Jazlan.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, parti yang menampakkan imej tidak bersatu tidak diterima oleh rakyat dan ia jelas ditunjukkan pada keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
“Sangat penting untuk kita menampakkan kesatuan dalam parti sebab kalau dilihat penggal Parlimen ketika ini hanya berbaki maksimum setahun, oleh itu adalah sangat penting untuk UMNO memperlihatkan barisan yang bersatu dan kuat tanpa ada sebarang perbalahan,” katanya.
Khairy mengulas mengenai dakwaan timbulnya persepsi bahawa UMNO ketika ini mempunyai dua kem berbeza.
Terdahulu, sebuah syarikat penyelidikan risiko negara dan industri antarabangsa, Fitch Solutions berkata UMNO kini berpecah kepada dua kumpulan, selain tidak memberi jaminan gabungan Barisan Nasional (BN) akan menang mudah pada PRU-15 nanti.
Dalam laporan pada Rabu (22 Jun) firma itu berkata perpecahan melibatkan kumpulan yang menyokong Ismail Sabri, dengan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta sekutunya, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.