
Rafizi kini merupakan Menteri Ekonomi.
Jika bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat keputusan bersama PKR, ia mungkin bakal menggugat kedudukan Rafizi Ramli.
Selaku Timbalan Presiden PKR dan dengan popularitinya yang semakin merosot, Rafizi bakal berdepan cabaran besar jika bekas Menteri Kesihatan itu masuk parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemecatannya.
“Saya adalah pemimpin kecil sahaja dan tidak pernah pegang jawatan besar di peringkat nasional.
“Tapi kalau bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau berpotensi menjadi Perdana Menteri, jadi kalau dia masuk PKR, mungkin Rafizi pun rasa ini satu cabaran,” kata bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin dipetik laporan Sinar Harian.
Untuk rekod, Khairy masih berteka-teki dengan pilihan parti yang akan disertainya selepas dipecat UMNO baru-baru ini.
Terdapat cakap-cakap orang politik, Khairy sebenarnya mahu menyertai PKR kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar.
Sekiranya Khairy menyertai PKR, berkemungkinan gandingan trio tersebut akan memberi nafas baharu kepada parti yang selama ini didominasi oleh Anwar dan pengikut setianya disekeliling.
Untuk rekod, Rafizi berada dalam kem berbeza dengan Anwar sebelum ini, tetapi boleh bersetuju dengan langkah untuk bekerjasama dengan UMNO bagi memastikan dapat menjadi kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Bagaimanapun, Anwar awal-awal lagi menegaskan perpaduan dengan rakan parti dalam kerajaan campuran perlu dijaga, ia selepas terdapat spekulasi cubaan membawa masuk Khairy bersama PKR.
Anwar yang mendapat sokongan anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya keberatan untuk menerima cadangan membawa masuk Khairy tersebut.