Khairy kritik ucapan dasar Zahid

Bekas calon Presiden UMNO pada pemilihan parti itu pada 2018 lalu, Khairy Jamaluddin mengkritik Ucapan Dasar Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO hari ini, yang disifatkannya tidak menyeluruh.

Antara lain, Menteri Kesihatan itu berkata Zahid tidak menyentuh beberapa isu yang rakyat hendak tahu apa akan dilakukan UMNO jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.

Khairy dalam temu bual bersama Astro Awani hari ini berkata ucapan dasar Zahid mempunyai kelompongan kerana tidak menyentuh beberapa isu yang melanda negara dan usaha pemulihan secara mendalam, khususnya pendidikan, kesihatan awam dan peralihan ke fasa endemik.

“Sebab itu penyelesaian kita apakah yang bakal ditawarkan oleh UMNO mestilah sesuatu yang menarik kepada rakyat. Kalau sekiranya tawaran kita pun belum lagi lengkap, macam mana kita nak kembalikan mandat dalam pilihan raya.

“Kita kena keluarkan sesuatu yang memberi harapan kepada rakyat bahawa UMNO tahu bahawa inilah perkara-perkara yang perlu diutamakan dari segi dasar kerajaan, dari segi program kerajaan untuk memulihkan negara kita,” katanya.

Khairy juga memberi contoh kelompongan yang tidak digariskan sepenuhnya oleh Zahid dalam ucapan dasar itu berkaitan negara yang kini berdepan dengan generasi yang terjejas dari segi pendidikan.

Menurutnya sepatutnya perlu digariskan apa yang akan dilakukan terhadap generasi itu.

“Contoh pendidikan. Kita berdepan dengan satu lost generation. Generasi yang hilang sebab dua tahun terjejas pendidikan mereka. Kita kena ada satu program di mana mereka yang hilang peluang pendidikan selama dua tahun ini dapat betul-betul touch up dari segi kompetensi mereka, dari segi asas pendidikan mereka.

“Jadi perkara ini mestilah menjadi… bagaimana kita nak merapatkan lagi jurang pendidikan yang telah diperluaskan disebabkan pandemik Covid-19. Perkara itu perlu dibentangkan sebagai antara asas hala tuju. Yang kedua kita melihat dalam pandemik… saya sebagai Menteri Kesihatan.

“Jadi ini isu yang rakyat nak dengar daripada Perhimpunan Agung UMNO, bukan hanya soal nak berubah, nak kembalikan mandat dan sebagainya. Itu kita faham. Tetapi juga bila kita kata kita nak bubarkan Parlimen ataupun kembalikan mandat, what is the solution,” katanya.

“Jadi saya nampak sebelum kita selesai… dalam parti apakah akan menjadi… bukan hanya manifesto… tetapi juga apakah akan menjadi tawaran kita kepada rakyat. Point di sini adalah banyak lagi kerja sebelum kita nak sampai ke tahap pilihan raya,” katanya lagi.

Berhubung perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan dan pembangkang, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata dari sudut kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menteri daripada UMNO semuanya mengutamakan soal pemulihan negara.

“Ada kelompongan dalam amanah (ucapan dasar) adalah tiada sentuhan berkenaan dengan pemulihan yang sedang berlaku. Pemulihan peralihan dari sudut ekonomi kita melihat sudah pun mula menampakkan bibit-bibitnya.

“Jadi dalam hal ini soal MoU ini salah satu tujuannya adalah menstabilkan negara bagi membolehkan pemulihan dilakukan. Yang kedua, adalah untuk memastikan bahawa reformasi institusi dapat dilaksanakan, terutamanya contoh akta lompat parti dan sebagainya.

“Walaupun masih lagi ada pertelingkahan yang kecil di Parlimen, tetapi dari sudut semangatnya untuk mencari solusi yang bipartisan yang dikongsi bersama oleh semua parti adalah sangat-sangat tinggi.

“Dan saya rasa kita perlu memanfaatkan MoU yang bersejarah ini untuk reformasi, institusi dan kestabilan… untuk pemulihan negara dapat dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zahid mempersoalkan adakah MoU itu akan disambung lagi sebagaimana dikehendaki pembangkang.

Menurut Zahid UMNO seharusnya sedar bahawa pihak lawan tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti itu.

“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita.

“Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?,” soalnya sambil menyerahkan jawapan kepada Ismail Sabri.

BERITA BERKAIT
POPULAR