
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Terserah kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membuat pertimbangan yang sebaiknya untuk memilih mana-mana parti selepas dipecat daripada UMNO malam tadi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan bekas ketua pemuda UMNO yang dipecat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu sebagai seorang yang bijak, malah mengenalinya dan pernah melantiknya memegang jawatan dalam Kabinet semasa menjadi Perdana Menteri Kelapan sebelum ini.
“KJ (Khairy) adalah orang bijak, dia pandai, banyak orang suka, tapi tidak mengapa semua ini saya kenal… terserah pada mereka (pihak parti) kalau mereka rasa sesuai kerana seorang seperti KJ ini, bukan saya hendak memuji pun.
“Dia bersama saya dalam kerajaan dulu… saya lantik dia walaupun parti tidak menamakan dia. Dulu jadi Menteri MOSTI (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi), lepas itu Menteri Kesihatan. Jadi kita kenal dia bijak orangnya… berkelulusan tinggi dan politik pun boleh tahan matang.
“Jadi kalau KJ kata dia berhasrat untuk bersama menyertai Bersatu, dia boleh buat permohonan.Kita akan pertimbangkan secara yang baik-baik,” katanya semasa sidang media hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh.
Khairy dipecat UMNO malam tadi bersama-sama bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar hasil keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Zahid.
Pemecatan berkenaan dibuat berikutan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahlian masing-masing.