Khairuddin keluar sementara: Nak gelak atau teriak, kata MB Kedah

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis ketika mengulas kenyataan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mendakwa keluar sementara daripada parti itu.

“Saya pun nak gelak ka nak teriak (menangis)… nak berhenti sat (sementara) lepas itu nak masuk balik… tak boleh,” kata Muhammad Sanusi pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus itu yang mengisytiharkan keluar daripada PAS serta-merta dua hari lalu, tetapi malam tadi berkata beliau hanya berhenti sementara sebagai ahli parti itu.

Selain enggan melepaskan jawatan Ahli Parlimen, Khairuddin juga menegaskan tidak akan sama sekali menyertai UMNO atau bersedia menubuhkan sebuah parti baharu.

Dalam temu bual khas Ruang Bicara di Bernama TV, malam tadi, Khairuddin berkata ada perkara yang beliau tidak boleh nyatakan dan betulkan selagi masih berada di dalam PAS kerana parti mempunyai perlembagaan dan disiplin sendiri.

“Ada banyak kecelaruan dalam parti , saya tidak salahkan ahli, ini bukan isu membabitkan ahli akar umbi atau kepemimpinan di kawasan atau bukan Dewan Undangan Negeri (DUN), negeri tetapi ini isu pengurusan parti peringkat pusat,” katanya. Berita berkaitan 

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata ‘berhenti sementara’ daripada menjadi ahli PAS tidak wujud dalam perlembagaan parti itu.

“Kadang-kadang ada orang ingat dia orang pandai, itu yang masalah…dia seorang pandai, orang lain tak reti (tahu). Sebenarnya, keputusan kolektif lebih baik daripada pandangan satu orang. Masalahnya, apabila satu orang itu dia lebih betul daripada pandangan ramai,” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan Khairuddin yang muncul di televisyen dalam wawancara di BernamaTV membicarakan keputusannya meninggalkan PAS.

“Tak perlu buat benda-benda masuk TV, keluar PAS cukuplah tak bersetuju dan menentang keputusan kepimpinan, hang sudah terkeluar daripada PAS. Pakai niat sahaja tak mahu patuh, tak mahu ikut kepimpinan PAS, (sudah) terkeluar daripada PAS,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR