Khairuddin digugur jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sekali lagi kehilangan kedudukan penting dalam parti apabila beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita mengesahkan perkara itu selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini hari ini, lapor Bernama.

“Oleh kerana pelantikan beliau (sebagai Setiausaha) Majlis Syura dibuat Jawatankuasa PAS Pusat, maka Jawatankuasa PAS Pusat telah membatalkan pelantikan itu.

“Ia berkuat kuasa semalam. Pembatalan lantikan itu kerana masalah disiplin… (oleh itu), dia tak jadi Ahli Majlis Syura lagi kerana untuk menjadi Setiausaha Majlis Syura, dia perlu jadi ahli dahulu,” katanya.

Pengguguran Khairuddin itu berlaku tidak sampai sebulan selepas digugurkan daripada menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 12 Januari lalu.

Ketika ini, Mohd Khairuddin hanyalah ahli biasa dalam PAS setelah ‘kehilangan’ dua jawatan dalam dua entiti tertinggi parti itu.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu gagal mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat semasa pemilihan bagi sesi 2021-2023 yang berlangsung pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 pada November lalu, namun dilantik semula ke jawatan itu bersama Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

BERITA BERKAIT
POPULAR