Ketua Pembangkang baharu dari Negeri Di Bawah Bayu?

Calon perdana menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika nasib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ibarat ‘bagai telur di hujung tanduk’ dengan asakan pemimpin dalam parti sendiri supaya meletak jawatan, spekulasi di sebelah blok pembangkang juga tidak kurang panasnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti biasa berlagak yakin masih mempunyai sokongan dari DAP dan Amanah, bagaimanapun risikan Agenda Daily di kalangan pemimpin pembangkang menerima reaksi berbeza apabila mereka dilihat menjauhkan diri daripada Ketua Pembangkang tersebut.

Khabar angin sedang bertiup kencang apabila nama seorang pemimpin dari Negeri di Bawah Bayu antara disebut-sebut bakal menggantikan tempat Anwar di Dewan Rakyat nanti.

Rasa kurang senang di kalangan pemimpin DAP dan Amanah timbul selepas tular klip audio Anwar dan Zahid baru-baru ini, pemimpin atasan DAP dan Amanah sudah semakin hilang kepercayaan terhadap Anwar.

DAP dan Amanah sedar sekiranya masih berada di bawah ketiak Anwar, kemungkinan peluang mereka untuk menang dalam pilihan raya umum nanti akan malap.

Persepsi rakyat terhadap blok pembangkang semakin terhakis sekiranya terbukti wujud kerjasama yang digerakkan Anwar melibatkan pemimpin UMNO daripada Kluster Mahkamah.

Anwar dan Zahid mungkin boleh bersumpah laknat di Makkah sekali pun, namun defisit kepercayaan rakyat adalah masalah utama yang mereka berdua sedang hadapi.

Beberapa pemimpin utama blok pembangkang dihubungi Agenda Daily untuk meminta reaksi mereka berhubung klip audio Anwar dan Zahid yang tular antaranya Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menolak untuk menjawab mahu pun memberi komen mempertahankan Anwar dalam konteks klip audio tersebut.

“Sila tanya Anwar sendiri,” kenyataan ringkas kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, Anwar dalam ucapan ceramahnya memberi jaminan DAP dan Amanah masih menaruh kepercayaan ke atas kepimpinannya. Peliknya, tidak ada seorang pemimpin DAP dan Amanah yang tampil sekurang-kurangnya mengatakan ‘itu klip palsu’.

Jawapan yang Agenda Daily dapat adalah ‘biar Anwar sendiri jawab’.

Tidak susah untuk mengira sifir politik seperti Anwar mengira jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai calon perdana menteri. Jawapan tersebut sudah cukup untuk mendapat gambaran apa yang sedang berlaku dalam blok pembangkang.

Beberapa hari selepas tular klip audio Anwar dan Zahid, nama Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal kini disebut-sebut sebagai calon Ketua Pembangkang baharu yang akan dipilih untuk menggantikan Anwar.

Jika sebelum ini DAP dan Amanah teragak-agak untuk melawan Anwar, kini peluang sudah terhidang untuk mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Anwar.

Kalau Anwar sebelum ini sibuk mendesak supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan majoriti dimiliknya di Dewan Rakyat, mungkin tidak lama lagi Anwar juga bakal didesak supaya membuktikan sokongan dimilikinya sebagai Ketua Pembangkang.

Tidak mustahil dirinya juga bakal berdepan usul tidak percaya di kalangan parti komponen DAP dan Amanah tidak lama lagi. Bayangkan Ketua Pembangkang menerima usul tidak percaya, mana Anwar nak letak mukanya nanti?