
Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah meletak jawatannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu mengesahkan peletakan jawatan Sulaiman selepas pelbagai spekulasi berhubung kemelut politik dalaman parti di negeri tersebut kebelakangan ini.
Zahid berkata Sulaiman menyerahkan surat itu ketika pertemuan di Parlimen, semalam.
“Saya mengesahkan bahawa saya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk mengemukakan nama yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.
“Saya harap Yang Dipertua Negeri menerima dan mempertimbangkan nama-nama yang saya kemukakan (Ketua Menteri baharu) dan tarikh majlis angkat sumpah akan diputuskan oleh Yang Dipertua Negeri,” katanya dipetik laporan BH.
Ditanya mengenai khabar angin Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan dipilih untuk jawatan tertinggi kerajaan negeri itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak boleh mengesahkan atau menafikannya.
“Lebih baik tunggu pengumuman daripada negeri itu,” katanya lagi.
Mengenai perbincangan peletakan jawatan Sulaiman akan membuka jalan kepada Kerajaan Perpaduan di Melaka, Zahid berkata, ia boleh berlaku tetapi semua orang perlu menunggu perkembangan apabila Ketua Menteri baharu akan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama selepas Aidilfitri.
Sebelum ini, media melaporkan Sulaiman dijangka meletak jawatan esok dengan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Ab Rauf kembali disebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.