Ketua Bersatu Mersing umum masuk UMNO dengan disambut Zahid, Najib

Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO hari ini dengan disambut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis kecil.

Pengumuman keputusan keluar parti dibuat oleh Ketua Bersatu Mersing dibuat pada ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tinggal beberapa hari lagi dengan Zahid mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Laili itu sebagai suntikan satu semangat untuk mereka memenangi pilihan raya pada 12 Mac ini.

Selain Laili, Zahid juga turut mengumumkan penerima penyertaan Ketua Bahagian Bersatu Tebraum Mazlan Bujang yang keluar parti Januari lalu.

“Saya terima Mazlan, Laili dan lain-lain, termasuk yang di peringkat cawangan.

“Laporkan kepada mereka yang UMNO parti terbuka. Malah kalau tak mahu masuk UMNO secara terus pun, kita ada Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (Najib).

“Ada klausa (benarkan) terima mereka sebagai ahli langsung BN,” katanya semasa sidang media di Mersing petang ini.

Menurut Zahid, UMNO sememangnya bergantung kepada aura Najib untuk memenangi PRN Johor seperti di Melaka, ia meskipun bekas Perdana Menteri itu sudah disabitkan hukuman terhadap rasuah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

“Aura bossku tidak pernah pudar. Malah ketika jadi Perdana Menteri, auranya cukup tinggi.

“Selepas tidak jadi perdana menteri, aura dia tetap terus tinggi,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zahid juga berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah berkaitan jutaan dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Zahid juga berdepan 40 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM43 juta untuk sistem Visa Luar Negara.

Najib pula dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta berkaitan penyelewengan dana milik SRC, bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad.

Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu dan pengundi akan memilih pada 12 Mac ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR