Kes Shahrir tak isytihar RM1 juta dibicara di Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar kes perbicaraan Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima wang RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi gagal diisytihar kepada LHDN.

Kes Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima wang RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi gagal diisytihar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan tersebut diputuskan Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Shahrir, 71, untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin berkata mahkamah memutuskan demikian atas alasan proses perbicaraan akan menjadi lebih cepat sekiranya didengar di Mahkamah Tinggi kerana terdapat isu perlembagaan yang akan dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

“Bagi tujuan keseragaman, mahkamah juga mengambil pengiktirafan kehakiman bahawa kes terhadap Tan Sri Shahrir adalah mirip dengan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (berkaitan LHDN) dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tanpa bantahan daripada timbalan pendakwa raya, oleh itu perlu adanya keseragaman,” kata peguam itu lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu secara dalam talian (aplikasi Zoom) hari ini, yang turut disertai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edross dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad serta Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat dan Mohd Afif Ali.

Perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 29 dan 30 Jun ini.

Sementara itu, Syahrul Syazwan berkata pihaknya akan menunggu notis dari Mahkamah Tinggi mengenai tarikh perbicaraan baharu dan sebutan kes.

“Kami juga akan memaklumkan keputusan hari ini kepada Mahkamah Sesyen melalui surat,” kata peguam itu.

Shahrir memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 23 Mac lepas.

Pada 20 Jan 2020, Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

POPULAR
Ahli UMNO nafi tapi MP PKR yakin Jajaran Harapan bakal terbentukJune 13, 2021
Kabinet PN paling tenang, bersemangat terus bekerja: Annuar MusaJune 13, 2021
Jajaran Harapan UMNO, PH semakin kuat bunyinya? Kata PAS JohorJune 12, 2021
UMNO tetap kena terima ‘Jeneral Anwar’June 10, 2021
Zahid bawa agenda peribadi bukan parti semasa bertemu Agong, kata NazriJune 14, 2021
Pertemuan Agong: PKR akan desak naikkan Anwar sebagai PM, adakan PRUJune 8, 2021