
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengkritik konsep negara madani diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pernyataan pembelaan sudah difailkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menjawab kes saman yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sanusi mengesahkan langkah membalas pernyataan kes fitnah tersebut di buat di Mahkamah Tinggi Alor Setar sebaik sahaja menerima perintah mahkamah daripada Perdana Menteri itu.
Untuk rekod, Sanusi diarah menfailkan pembelaan terhadap kes saman berhubung ucapannya pada kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada 13 November tahun lalu.
“Semalam (perintah mahkamah) dipanggil naratif untuk mengekalkan momentum dia (Anwar), bila dia saman lepas itu dia suruh orang jawab. Jadi dia nak kekalnya momentum dia.
“Sebenarnya bukan macam itu. Bila dia fail, mahkamah sudah maklum, kita terus jawab,” katanya dipetik laporan BH.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkembangan kes berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah.
“Saya malas nak ulas nanti orang kata saya mulut celupar,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dilapor memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada 13 November lalu.
Anwar, 75, yang juga plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.
Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.
Semalam, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarah Menteri Besar itu memfailkan penyataan pembelaan dalam kes saman itu selewat-lewatnya 13 Februari ini.