Kes Covid-19 naik, Anwar tak tuduh kerajaan gagal selepas merterai MoU

Hari ini negara menyaksikan kes jangkitan baharu Covid-19 meningkat melepasi angka 10,000 lebih, ia satu kenaikkan mendadak berbanding beberapa bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, jika dahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling cepat menuduh kerajaan gagal tetapi kali ini sejak memerterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan diketuai UMNO beliau agak malu untuk lantang bersuara.

Jika tidak, Anwar bersama barisan pengikut setianya dalam DAP dan Amanah akan hampir saban hari memekik terlolong mendakwa kerajaan gagal, malah sehingga sanggup turun ke jalan raya berdemonstrasi.

Kini, walaupun peningkatan kes Covid-19 yang semakin ketara, nampaknya Anwar mahupun Mohamad Sabu yang handal memasak kari ikan dan Lim Guan Eng yang merah mukanya bila kemarahan masih senyap membisu tidak mengulas mengenai perkembangan semasa peningkatan kes Covid-19.

Mungkin semua pemimpin blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sedang sibuk menumpukan kempen mereka di Johor bagi mencari kemenangan selepas kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak sebelum ini.

Semasa kemelut politik tahun lepas, pemimpin pembangkang bukan sahaja menggerakkan kumpulan baju hitam berdemonstrasi di jalanan, malah Ahli Parlimen pembangkang turut berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke bangunan Parlimen.

Semasa itu, kes Covid-19 masih lagi dalam keadaan penularan yang agak tinggi namun tidak dihiraukan oleh pemimpin pembangkang yang keras kepala dan tamak kuasa mahu mendesak pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, ketika itu pembangkang juga bersama beberapa Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga menimbulkan krisis politik waktu itu dan mengheret negara dalam satu lagi konflik yang menjejaskan kestabilan negara.

Kepalanya waktu itu Anwar dan Zahid yang bersama-sama berkomplot, tetapi akhirnya Presiden PKR itu ditipu anak muridnya apabila gagal memujuk Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong cikgunya itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri (PM).

Akhirnya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu mendapat sokongan Bersatu, PAS dan parti GPS berjaya menjadikan dirinya sebagai PM yang baharu.

Untuk rekod, parti pembangkang tidak menyokong Ismail Sabri sebagai PM dan hanya menyokong selepas menandatangani MOU kemudiaannya di Parlimen.

Sebagai timbal balas, Anwar mendapat keistimewaan dan elaun dinaikkan setara dengan Menteri walaupun hanya menjadi Ketua Pembangkang. Tersenyum riang dan gembira Anwar selepas mendapat tawaran tersebut.

Tawaran tersebut sebenarnya dibuat oleh juga semasa Muhyiddin menjadi PM tetapi ditolak dan Anwar hanya menerima tawaran dibuat oleh seorang PM dari UMNO.

Selain itu, Ahli Parlimen pembangkang juga akan menyokong Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh kerajaan Ismail Sabri.

Namun, faktanya semua krisis politik tersebut bermula dengan laungan slogan oleh Anwar bersama-sama anak muridnya yang mendakwa ‘kerajaan gagal’ atas alasan kes Covid-19 naik dan kes kematian yang tinggi.

Kini, kes Covid-19 juga semakin naik mendadak dan varian Omicron dikatakan menjadi punca tercetusnya gelombang baharu ini.

Dalam keadaan ini, adakah Anwar berani untuk melaungkan slogan ‘kerajaan gagal’ seperti yang dilakukannya sebelum ini?

BERITA BERKAIT
POPULAR