Kes Covid-19 meningkat, DAP mohon tangguh kongres

DAP menangguhkan Kongres Kebangsaan sehingga berakhir PKP 3.0.

Kongres Kebangsaan DAP yang dijadual pada 20 Jun ini akan ditukar kepada satu tarikh lain selepas kes Covid-19 semakin meningkat dan mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), yang melarang sebarang bentuk mesyuarat dan perhimpunan diadakan.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook yang berkata akan membuat permohonan untuk menangguhkan kongres itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan berharap agar permohonan itu dibenarkan sehingga PKP dilonggarkan dan pergerakan rentas negeri dibenarkan.

“Kongres Kebangsaan DAP sepatutnya diadakan pada 20 Jun 2021 dan notis pemakluman telah pun dikeluarkan kepada cawangan-cawangan DAP di seluruh negara. Namun pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun 2021 dan kemungkinan dilanjutkan menyebabkan kongres sukar untuk diadakan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya lapor Bernama.

Setakat ini, 10 Jawatankuasa Negeri DAP telah mengadakan Konvensyen Biasa masing-masing, manakala Konvensyen Biasa Negeri bagi Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Perlis dan Selangor masih belum diadakan.

Beliau berkata maklumat lanjut berkenaan penundaan tarikh-tarikh ini, akan diumumkan sejurus selepas Ibu Pejabat Kebangsaan DAP menerima maklum balas dari ROS.

POPULAR