Kerjasama UMNO, DAP bakal jadi realiti, akar umbi sangat teruja

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman teruja selepas melihat program Ketua Wanita UMNO dengan wakil DAP.

Pemimpin akar umbi UMNO teruja untuk melihat kerjasama dengan DAP menjadi realiti rentetan langkah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad menjemput wakil DAP, Ong Kian Ming dalam satu program bersama baru-baru ini di Bangi.

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata cadangan jajaran baharu Perikatan 3.0 bersama DAP dan PKR yang diuar-uarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mustahil akan berlaku memandangkan Bersatu juga pernah bekerjasama dengan DAP untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Jadi, kemungkinan jajaran baharu ini boleh berlaku. Persoalannya adakah tidak wajar sekiranya ia berlaku? Banyak orang kata sekarang ialah ia tak wajar.

“Bagaimanapun, kejatuhan BN dahulu pun kerana jajaran baharu juga antara Bersatu dengan PKR dan DAP. Makna kata kalau itu sebagai sesuatu yang tidak betul, kenapa pula dulu boleh diterima oleh Bersatu?” katanya dalam satu kenyataan.

Link berita: Menuju Perikatan 3.0, UMNO mesti jemput wakil DAP dalam program

Malah, Ahmad Tajuddin yang tidak dapat menyimpan keterujaannya berkata, akar umbi UMNO sanggup menerima DAP dan boleh menyesuaikan ideologi masing-masing di bawah satu bumbung baharu dikenali Perikatan 3.0.

“Persoalan sekarang ini ialah kesesuaian dari segi ideologi sama ada DAP, PKR dan UMNO boleh duduk semeja bergantung kepada kesesuaian ideologi.

“Tetapi kalau tengok kepada yang ada hari ini, memang kesesuaian itu tidak ada dan ia sekali lagi bergantung kepada jajaran untuk disatukan berdasarkan kesesuaian dari segi ideologi. Kalau bertegas dengan masing-masing ideologi yang ada sekarang tak mungkin boleh berlaku,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi mengadakan lawatan bersama Ahli Parlimen Bangi, Kian Ming melawat Azura Omar, pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.

Noraini yang dikritik hebat susulan pertemuan itu menjelaskan ia adalah secara kebetulan dan tidak membabitkan sebarang arahan daripada pimpinan UMNO, sementara Kian Ming pula menyatakan sebaliknya dan ia adalah jemputan Noraini.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan Zahid membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Link Berita: Zahid beri bayangan jajaran baharu Perikatan 3.0 bersama PKR, DAP

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Link Berita: Tular klip audio Anwar, Zahid bincang strategi semasa PAU

POPULAR