
Kerjasama PAS-UMNO.
Tidak ada jaminan UMNO akan dapat merampas semula Selangor yang diperintah Pakatan Harapan walaupun dengan kerjasama PAS sekalipun, kata Dr. Mohamad Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata masih sukar untuk membentuk kerajaan meskipun UMNO dan PAS bekerjasama pada pilihan raya umum depan nanti kerana tidak akan dapat majoriti yang mencukupi bagi menewaskan gabungan blok pembangkang itu.
“Malah, jika UMNO bekerjasama dengan Pas sekalipun, kita hanya mampu peroleh 17 kerusi sahaja, masih tidak mampu untuk membentuk kerajaan,” katanya dipetik laporan media.
Beliau juga mempertikaikan langkah yang cuba diusahakan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu, Tan Sri Noh Omar untuk meminta autonomi daripada pemimpin tertinggi parti seperti di Sabah dalam usaha untuk memastikan kerjasama dengan PAS berjaya.
“Kalau nak kuasa autonomi, buat apa kita perlukan Presiden di atas? Sebab dia jauh lebih baik tahu apa yang perlu dibuat untuk parti. Jika tidak, kita tidak mungkin boleh menang di Melaka dan Johor.
“Perlu diingat, dulu UMNO ini dalam longkang, tiada siapa pun nak. Sekarang semua berebut nak masuk balik, dan kalau semua ingin mendapatkan autonomi, kita akan cacamarba,” katanya.
Khir juga menyifatkan Noh sepanjang mengemudi UMNO di Selangor masih gagal dalam mencari strategi yang ampuh dapat menawan hati rakyat.
“Bagi saya strategi yang dibuat di Selangor ini adalah strategi hanya untuk menang pilihan raya. Bukan untuk menang hati rakyat.
“Bila bercakap tentang manifesto, masing-masing pun tidak tahu apa itu manifesto sedangkan manifesto ini adalah suatu yang perlu dilaksanakan bagi mendekati hati rakyat.
“Sebab itu Rukun Islam cuma ada lima perkara, kalau 50 perkara, jenuh nak laksanakan. Kalau lima perkara ini, nak atau tidak, ia perlu dilaksanakan, ini contoh asas,” katanya lagi.