
Ketua Penerangan PAS Kedah yang juga ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat.
PAS Kedah percaya rakyat, khususnya ahli UMNO ingin tahu apakah pendirian Majlis Ulama UMNO (MUU) terhadap kerjasama parti itu dengan DAP, menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PAS Kedah Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata ini kerana MUU itu boleh memainkan peranan bagi menasihati UMNO berhubung kerjasama parti berkenaan dengan DAP.
Beliau memetik kenyataan bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2011 lalu di Kuala Terengganu, yang mengatakan PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam pakatan pembangkang, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.
Menurut Mohd Azam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, Najib juga berkata jika PAS mahu memperjuangkan Islam, DAP bukanlah rakan sebenar dalam perjuangan berkenaan.
“Alhamdulillah. (Penubuhan MUU) ini adalah satu berita gembira. Bolehlah Majlis Ulama UMNO ini berperanan untuk menasihati UMNO berkenaan kerjasama mereka bersama DAP.
“Ketika era kerjasama PAS dan DAP sebelum ini, Najibkata PAS tidak pernah untung dalam pakatan pembangkang, malah PAS hanya menjadi alat kepada parti DAP.
“Alhamdulillah, sebelum kewujudan Majlis Ulama UMNO lagi mereka sudah peka mengenai hubungan kerjasama bersama DAP. (Dan) PAS dengan nasihat Majlis Syura Ulamak juga telah memutuskan kerjasama dengan DAP.
“Menurut Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, keputusan itu dibuat apabila DAP mula bersikap melampau dan cuba mengubah dasar dalam Perlembagaan Persekutuan terutama dalam urusan agama Islam dan kepentingan orang Melayu,” kata Mohd Azam.
Namun kini, Mohd Azam, UMNO pula yang dilihat bersungguh-sungguh membela dan menyanjung DAP.
“Apakah pandangan Majlis Ulamak Umno? Atau adakah DAP sekarang sudah berubah menjadi pejuang orang Melayu-Islam?
“Besar harapan agar Majlis Ulamak Umno yang dianggotai oleh Dato’ Haji Dusuki Ahmad dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ini mampu memberi pandangan tuntas berkenaan kerjasama Umno dan DAP yang ‘setia kawan’ ini.
“Ramai ahli dan pengundi UMNO yang telah dikhianati sedang menunggu,” katanya lagi.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, parti itu bersetuju menubuhkan MUU yang dipengerusikan Datuk Dusuki Ahmad.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus, turut dilantik menganggotai MUU.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Khairuddin yang telah menyertai UMNO tewas kepada Datuk Dr Alias Razak daripada PAS.