Kerajaan tak tumbang, kata pakar Perlembagaan

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berpendapat ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media awal pagi tadi berhubung penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), hanyalah kenyataan politik semata-mata.

Katanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih kekal berkuasa dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah jawatan.

Memetik laporan BH beliau berkata jika semua Ahli Parlimen dan UMNO menarik diri daripada kerajaan PN baharulah kerajaan yang sedia ada terbubar.

“Kerajaan yang ada sekarang masih kekal berkuasa kerana pada masa ini tiada pengesahan mengenai penarikan sokongan daripada UMNO.

“Pada masa ini, apa yang dikatakan UMNO mengenai menarik sokongan itu adalah kenyataan politik semata-mata,” katanya mengulas kedudukan kerajaan dengan pengumuman penarikan sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Halim menjelaskan hingga kini, UMNO tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada semua Menteri dari UMNO untuk meletak jawatan.

Satu perkara lagi, katanya perlu diingat pada masa ini darurat masih belum dibubarkan.

Darurat diisytiharkan pada 12 Januari lalu, selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Zahid awal pagi tadi menyatakan pendiriannya menarik balik sokongan kepada kepemimpinan kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan keputusan Zahid itu sekadar melepaskan dirinya kerana gagal mengurus UMNO.

“Nampak sangat keputusan dibuat ada percanggahan pendapat dalam kalangan ahli MT (Majlis Tertinggi),” kata bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Sebelum itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Zahid tersebut menyeleweng daripada topik perbincangan yang berjalan malam tadi atau dalam erti kata lain yang dibincang tapi lain pula yang keluar dari mulutnya semasa membaca perutusan sidang media itu.

Malah, Annuar mendedahkan hasil daripada maklumat yang diperolehnya, kenyataan media semasa siaran sidang media tersebut sudah dirancang lebih awal sebelum berlangsung mesyuarat MT jam 8.30 malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR