
Rakyat berhak mendapat penjelasan lengkap berhubung isu perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Rakyat berhak mendapat penjelasan lengkap berhubung isu perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS), dan dalam hal ini kerajaan tidak akan menyembunyikannya kerana ia berpunca daripada integriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya isu perolehan aset oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kontrak RM9.13 bilion perlu dijelaskan secara berhemah bagi mengelak spekulasi sehingga rakyat terus membuat kesimpulan.
“Kerajaan terdahulu (sebelum 2018) gagal kerana tidak menjelaskan dengan betul kepada rakyat apabila isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) timbul.
“Itu akhirnya menyebabkan orang ramai membuat spekulasi dan kesimpulan sendiri tentang apa yang berlaku, walaupun apa yang mereka fikir tidak berlaku atau tidak terjadi seperti yang diduga.
“Tetapi kerana kami gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya, isu itu akhirnya meletup,” katanya dalam temu bual bertemakan “Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia” di Seri Perdana, seperti dilapor TheEdge.
Hari ini (21 Ogos) menandakan ulang tahun pertama Ismail Sabri, 62, menerajui kerajaan. Pada 21 Ogos tahun lalu, beliau mengambil alih jawatan tertinggi negara, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan berikutan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Pada 4 Ogos tahun ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa sembilan sesi siasatannya terhadap isu LCS sejak 18 November 2020 mendapati bahawa tiada satu pun kapal itu telah disiapkan, walaupun kontrak yang diberikan melalui rundingan terus menyatakan bahawa lima kapal sepatutnya dibina dan dihantar menjelang Ogos.
Kontrak pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi isu hangat selepas pendedahan bahawa projek itu, yang dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023, adalah hanya 53.29 peratus siap pada 31 Mei 2019, sedangkan kerajaan telah membayar hampir RM6 bilion daripada keseluruhan kos RM9 bilion.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Penyiasat Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang didedahkan pada Rabu, sejumlah RM5.94 bilion telah dibayar oleh Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek itu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, disebabkan itu, beliau memutuskan untuk mendedahkan kepada umum penemuan sulit jawatankuasa penyiasat berkenaan.
“Kami percaya bahawa tanpa mengira persepsi orang ramai, kami mesti memberikan penjelasan dan kami tidak boleh menutupnya.
“Itu sebabnya saya memutuskan dengan segera bahawa laporan audit forensik perlu dinyahklasifikasikan. Kita mesti telus dan biarkan rakyat melihatnya sendiri,” tambahnya.
Naib Presiden UMNO itu berkata beliau percaya bahawa pembangkang akan terus “mengupas” isu LCS – seperti yang mereka lakukan dengan 1MDB – tetapi apa yang penting sekarang ialah bagaimana kerajaan bertindak balas untuk memulihkan keyakinan rakyat.
“Sekarang ada satu kes, dengan seseorang sudah didakwa di mahkamah. Saya difahamkan bahawa satu atau dua lagi kes akan dibawa ke mahkamah. Tetapi saya percaya tidak kira siapa yang dibawa ke mahkamah, isu ini akan terus dimainkan.
“Kita tidak boleh beritahu bila isu ini akan reda. Bagi saya, yang penting saya telah memberitahu Kabinet bahawa penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini adalah penting,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan melahirkan kebimbangan berhubung skandal LCS akan menjadi seperti skandal 1MDB sehingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut Sinar Harian, Ismail Sabri berkata pembubaran Parlimen tidak boleh dibuat sesuka hati dan secara tergesa-gesa tanpa kajian yang teliti kerana jika tersilap langkah ia akan boleh dianggap sebagai “membunuh diri”.
“Tarikh PRU-15 bukan boleh diumumkan begitu sahaja, banyak perkara perlu diambil kira termasuk, pertama hasil kajian sikap dilakukan oleh Wanita UMNO.
“Jika kita adakan PRU-15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU-15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU-14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk,” kata Ismail Sabri.
Beberapa jam sebelum Ismail Sabri membuat kenyataan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang namanya dikaitkan dalam skandal LCS meneruskan desakan agar PRU-15 disegerakan kerana parti itu dilihat berpeluang cerah untuk menang besar kerana pembangkang sedang berpecah ketika ini.
Zahid memberi kata dua: “Segerakanlah (PRU-15) atau UMNO BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna.”
Untuk rekod, nama Zahid sekali lagi terpalit dalam satu skandal selepas PAC mendedahkan campur tangan bekas Menteri Pertahanan itu dalam meluluskan projek kapal TLDM itu pada 2011.
Dalam dokumen yang dinyahklasifikasi, PAC mendedahkan Zahid menukar reka bentuk LCS daripada Sigma kepada Gowind pada 2011, bertentangan dengan pendirian TLDM.
Perkara ini dibuktikan menerusi surat niat (LOI) yang ditandatangani Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor bertarikh 8 Julai 2010 kepada Zahid yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu.
Zahid merujuk surat itu kepada bahagian perolehan Kementerian Pertahanan menerusi tulisan tangan di bahagian atas dengan menyatakan ‘sub perolehan sila laksanakan’.