
Kerajaan tak dedah kos belanja penerbangan PMX.
Jumlah kos belanja penerbangan Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim bagi lawatan ke luar negara tidak didedahkan kerajaan.
Dalam pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan tidak mendedahkan kos belanja penerbangan yang sudah digunakan sepanjang PMX memegang jawatan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden bertanya kepada PMX untuk mendedahkan jumlah yang telah dibelanjakan bagi penggunaan jet peribadi kerajaan dan senarai destinasi berkenaan.
Dalam jawapan bertulis Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa penggunaan jet peribadi atau pesawat eksekutif kerajaan adalah keistimewaan yang dinikmati oleh setiap PM selaku ketua kerajaan.
Armizan mendedahkan Anwar telah ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan jenis Airbus (ACJ-320) yang di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak sembilan kali.
Sementara itu, 17 kali ke destinasi domestik menggunakan pesawat jenis Global Express dan Falcon di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan di mana ia digunakan atas urusan rasmi atau khas YAB Perdana Menteri.
“Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan pengurusan pesawat berkenaan,” kata Armizan dalam jawapan itu.
Soalan yang hampir sama dikemukakan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN – Kubang Kerian), yang meminta penjelasan mengenai hasil pelaburan yang sebenar dari lawatan tersebut.
Armizan memaklumkan bahawa Anwar telah melawat Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi dan China.
“Lawatan rasmi dan persidangan antarabangsa ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa terhadap kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di Malaysia.
“Di antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi ini termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat,” katanya.