‘Kerajaan satu majoriti Johor’ kaji kemungkinan adakan PRN

Susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, kerajaan Johor pimpinan UMNO yang disokong Bersatu dan PAS, kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi, berbanding pembangkang.

Berdasarkan laman sesawang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, dengan UMNO menguasai 14 kerusi; MIC (dua); dan PAS (satu). Susulan kematian Osman jumlah kerusi dimiliki Bersatu kini sebanyak 11.

Sementara pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebagai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, kini memiliki 28 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 27 kerusi.

Susulan itu, kedudukan kerajaan negeri kini dalam keadaan genting dengan hanya berkelebihan satu kerusi, namun tidak memadai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Hasni hari ini.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri akan meneliti dan memantau sebarang reaksi, khususnya dalam kalangan parti yang bergabung membentuk kerajaan pada hari ini, serta kemungkinan perlunya PRN diadakan.

“Kedudukan getir itu tidaklah memadai untuk PRN diadakan memandangkan situasi politik di negeri itu berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

“Kerajaan yang ada ini bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau sekiranya berlaku keadaan sedemikian. Dengan kematian Datuk Osman Sapian, menjadikan Johor tinggal satu majoriti sahaja.

“Maka dengan itu, perlu saya memahami reaksi khususnya parti-parti yang bergabung untuk tubuh kerajaan. Perbincangan atau perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan Johor yang hari ini mempunyai majoritinya yang amat tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini, lapor Utusan.

Rabu lalu, Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia kira-kira jam 11.45 malam di kediaman anaknya di Kuala Lumpur.

Hasni berkata pihaknya akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang diadakan pada 6 Januari ini.

Katanya, Sidang Khas DUN itu adalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 berkenaan meluluskan had usia pengundi dan calon kepada usia 18 tahun.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita nak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN sudah jelaskan tidak perlu kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi dan keadaan terkini Johor. Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana berlaku di Melaka atau Sarawak.

“Ini kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR