Kerajaan Sabah dikenali GRS-BN

Kerajaan Negeri Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hajiji berkata beliau bersetuju dengan cadangan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini untuk merujuk kerajaan Sabah sebagai GRS-BN susulan kerjasama kedua-dua gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada September 2020.

“Walaupun BN dalam satu gabungan lain dan tidak dalam GRS, tetapi kerajaan negeri yang ada pada hari ini ialah GRS dan BN juga. Ini sudah dipersetujui, sebelum pilihan raya (negeri) pun kita ada kerjasama dengan BN.

“Apabila kita menang keputusan pilihan raya, kita sama-sama bentuk kerajaan negeri dengan BN. Jadi, cadangan itu memang bagus tetapi kadang-kadang kita panggil GRS, tetapi mulai sekarang, kita panggil (kerajaan) GRS-BN,” katanya memetik laporan Bernama, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri yang ingin kerajaan Sabah dikenali sebagai GRS-BN memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan ditubuhkan pada PRN Sabah yang lepas.

Terdahulu, Hajiji mengadakan lawatan kerja ke Tamparuli yang antara lain menyaksikan persembahan kebudayaan dan mural di Jambatan Tamparuli, merasmikan pusat pelancongan dan aktiviti pendakian Bukit Perahu serta majlis pecah tanah Mahkamah Anak Negeri Tamparuli.

Dua hari lalu, Bung Moktar mencadangkan penggunaan nama berkenaan secara tidak rasmi kepada kepimpinan GRS, bertujuan mencerminkan gabungan sebenar parti yang membentuk kerajaan negeri.

Walaupun BN bukan sebahagian daripada komponen GRS yang kini sudah berdaftar secara rasmi, beliau berkata, partinya kekal menyokong GRS sebagai parti membentuk kerajaan, selain sebagai rakan politik yang menang, pada pilihan raya negeri lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR