
Pembersihan dalam UMNO bermula yang menyaksikan beberapa pemimpin dipecat dan digantung parti.
Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah berhati-hati menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tak lama lagi, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketua Penerangan PN itu mengesahkan terdapat lapan bekas pemimpin UMNO yang dipecat kerana menentang Presidennya sebelum ini akan menyertai gabungan tersebut, tetapi perlu berhati-hati kerana kerajaan campuran suka mengugut dan menekan lawan politiknya.
“Kerajaan ketika ini ialah kerajaan yang mengugut. Kalau mereka dapat tahu, dia akan ugut dan akan tekan. Ini satu perkara yang tidak baik.
“Jadi, sabar kerana ia akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin selepas Hari Raya Aidiladha,” katanya dipetik laporan.
Azmin ditemui wartawan semasa Majlis Rumah Terbuka PN Selangor di Shah Alam malam tadi.
Terdahulu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa mengesahkan sudah mengemukakan permohonan bagi menyertai PAS.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan sudah menghantar borang keahlian PAS sejak beberapa bulan lalu, kini menunggu kelulusan dari parti itu.
“Bukan 10 orang (bekas pemimpin dan ahli UMNO, tapi) lebih daripada 1,000 bersama-sama dengan saya Insya-Allah pada minggu kedua Jun, kita hanya sekarang sedang menunggu (keputusan) daripada parti PAS.
“Saya mengesahkan saya sudah membuat permohonan (menyertai) PAS, terpulanglah pada PAS untuk menerima saya ataupun tidak kerana saya ini bukan sesiapa pun.
“Keputusan yang saya buat (menyertai PAS) selepas saya meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara dan juga keadaan berlaku dalam politik UMNO itu sendiri,” katanya dipetik laporan media.
Dalam pada itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini juga secara terbuka membuat tawaran kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyertai Bersatu selepas menerima nasib sama seperti Annuar.
UMNO sebelum ini melakukan pembersihan besar-besaran dalam parti itu dengan memecat dan menggantung ahli serta pemimpin parti yang dilihat tidak sehaluan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.