Kerajaan digesa lanjut darurat elak PRN Sarawak, jangan jadi seperti PRN Sabah

Bagi mengelakkan insiden sama berulang seperti Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu yang menjadi punca penularan semula Covid-19, Kerajaan digesa perlu mengisytihar dan melanjutkan tempoh darurat di Sarawak.

Langkah tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku kerana keadaan tidak mengizinkan ekoran Covid-19 masih menular dengan cepatnya ketika ini, kata bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

“Rakyat di Sarawak pun saya rasa rela begini daripada berdepan masalah. Mereka tidak marah pun jika tiada PRN. Kalau ada parti politik yang mendesak PRN dilaksanakan, ia tidak bertanggungjawab dan tidak mementingkan nyawa serta keselamatan rakyat.

“Kita juga sebenarnya berbelah bahagi antara memenuhi kehendak demokrasi dan juga risiko terhadap wabak Covid-19. Memang pilihan raya perlu dilakukan tapi pengalaman sebelum ini cukuplah menjadi pengajaran untuk kita semua,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Wan Ahmad berkata langkah tersebut adalah yang terbaik buat masa ini sekiranya mahu memutuskan rantaian Covid-19 dan pihak SPR boleh berbincang dengan kerajaan dan badan berkaitan untuk menangguhkan PRN tersebut.

“Kalau saya masih ada kapasiti dalam SPR, saya akan memohon dengan Seri Paduka untuk melanjutkan darurat di Sarawak sahaja. Saya tidak nampak wabak akan berkurang, jadi keutamaan adalah keselamatan dan nyawa semua orang,” katanya.

Mengikut Perlembagaan Sarawak, DUN negeri akan menamatkan tempohnya menjelang 6 Jun depan iaitu genap lima tahun sejak tarikh mesyuarat pertama DUN pada PRN 2016.

Dalam keadaan biasa, DUN sepatutnya dibubar untuk me­ngembalikan hak demokrasi rakyat bagi memilih kerajaan melalui pilihan raya namun, bagi PRN Ke-12 ini, ia tidak dapat diadakan kerana negara masih berada dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos akan datang.

Baru-baru ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menye­rahkan kepada kebijaksanaan Seri Paduka dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menentukan masa sesuai bagi membubarkan DUN.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Melor, Kelantan; DUN Bugaya, Semporna dan Parlimen Gerik ditangguhkan susulan darurat berikutan kematian penyandangnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR