Kerajaan DAP tidak akan bubar DUN P. Pinang, tunggu habis penggal

Susulan spekulasi yang timbul UMNO mungkin akan mendesak pilihan raya umum (PRU) lebih awal dari tarikh akhir Julai 2023, Pulau Pinang memutuskan hanya akan mengadakan pilihan raya selepas tamat penggal penuh.

Naib Pengerusi DAP Chow Kon Yeow berkata negeri itu akan mengekalkan haknya dan tidak akan mengikut jika pilihan raya raya umum diadakan lebih awal, menurut laporan Bernama.

“Kami tidak perlu ikut pilihan raya nasional kerana negeri boleh buat keputusan sendiri dan kami boleh pilih untuk adakan pilihan raya setelah penggal penuh berakhir.

“Tambahan pula ia tidak menjadi duluan kerana ia telah berlaku sejak sekian lama sebelum ini di Sabah, Sarawak, Kelantan, Johor dan Melaka,” katanya selepas merasmikan Forum CEO PKS 2022 hari ini.

Sementara itu, Chow berkata Kongres Kebangsaan DAP ke-17 yang akan diadakan pada 20 Mac akan memberi tumpuan kepada dua isu utama — perubahan dalam barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) terutama jawatan Setiausaha Agung parti dan 30 peratus wakil wanita dalam jawatankuasa kepimpinan kebangsaan DAP.

“Kami berharap barisan kepimpinan nasional yang baru ini akan dapat membawa parti ke hadapan dalam keadaan politik yang bergolak ini,” tambahnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR