Keputusan Zahid tolak kerjasama bakal dilanggar kem PM dalam MT UMNO?

October 26, 2021 · Politik

Satu kem dalam UMNO yang tidak sehaluan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merancang untuk menolak keputusan Presiden UMNO itu yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khamis ini, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan memuktamadkan sama ada bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru ataupun bekerjasama dengan parti lain.

Zahid difahamkan akan mempengerusikan mesyuarat Khamis ini sebelum bertolak ke Jerman bagi menjalani rawatan sakit belakang dan akan terlepas berkempen dalam PRN memandangkan pasportnya dikembalikan bermula esok sehingga 21 November ini.

Sumber memberitahu kem Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah mencapai kesepakatan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam PRN Melaka, sekali gus mengetepikan pendirian Zahid sebelum ini.

“Sudah, sudah selesai rundingan dan kesepakatan,” kata sumber merujuk kepada rancangan kem Ismail Sabri.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan rancangan kem Ismail Sabri itu akan digagalkan oleh Ahli MT UMNO yang diketahui berpihak kepada Zahid dan berkeras untuk masih bertanding secara solo.

Beberapa kenyataan pemimpin tertinggi parti memberikan isyarat bakal berlaku keputusan yang tidak akan memihak kepada Zahid, malah seorang Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini juga berkata parti belum memuktamad keputusan sama ada akan bergerak secara solo di bawah Barisan Nasional (BN) atau bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

“Jadi kita ada masa lagi, BN dan UMNO masih ada masa untuk mencari kaedah yang terbaik untuk PRN negeri Melaka, jadi saya tidak fikir kita sudah ada keputusan untuk UMNO dan BN pergi (hadapi PRN Melaka) secara solo,” katanya dipetik dalam laporan media sebelum ini.

Terbaharu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang sebelum ini banyak menuruti arahan Zahid juga mengeluarkan kenyataan yang tidak lagi selari bosnya itu, ia menimbulkan persoalan sama ada sudah bertukar kem.

Kem Ismail Sabri mungkin cuba melanggar pendirian Zahid yang enggan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu, namun ia bakal mengundang satu lagi kemelut politik dalaman parti tersebut.

Untuk rekod, Zahid bertegas dalam beberapa kenyataan secara terbuka sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan Bersatu, malah berkata “no way” apabila ditanya berhubung sebarang bentuk kerjasama politik di Melaka nanti.

Sumber memberitahu Ismail Sabri sudah menghubungi semua Ahli MT bagi mendapatkan maklumat berhubung pendirian yang bakal dibuat pada mesyuarat Khamis nanti dan menzahirkan pendirian supaya UMNO bekerjasama dengan rakan parti lain sekiranya mahu menang dalam PRN.

“PM hubungi ahli-ahli MT dan menjelaskan berhubung pentingnya kerjasama politik dengan rakan parti lain jika mahu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Berita berkaitan
Skandal LCS: Anwar sokong cadangan Bersatu tubuh RCI
7 jam lalu· Politik
Bagi UMNO, pendedahan skandal LCS dipertikai kerana Pengerusi PAC dari DAP
7 jam lalu· Politik
Pengurus bank sahkan RM1 juta diterima Sharir daripada Najib
21 jam lalu· Isu semasa
Skandal LCS: Mat Maslan kata tak rasa UMNO akan kalah dalam PRU-15
August 11, 2022· Politik
Popular
Bagi UMNO, pendedahan skandal LCS dipertikai kerana Pengerusi PAC dari DAP
August 12, 2022
Nizar layak tanding di Pekan tatkala Najib kemuka rayuan akhir kes SRC
August 12, 2022
Pindaan perlembagaan UMNO tangguh pemilihan belum selesai: RoS
August 12, 2022
Skandal LCS: Anwar sokong cadangan Bersatu tubuh RCI
August 12, 2022
Lagi Politik terkini
Firma peguam Najib nafi tarik diri jika perbicaraan rayuan SRC diteruskan
1 jam lalu · Politik
Pindaan perlembagaan UMNO tangguh pemilihan belum selesai: RoS
4 jam lalu · Politik
Nizar layak tanding di Pekan tatkala Najib kemuka rayuan akhir kes SRC
4 jam lalu · Politik
Anwar pertimbang bertanding di kawasan Parlimen lain pada PRU-15
20 jam lalu · Politik
Bersatu serah memorandum kepada Agong minta RCI kapal tak siap
August 10, 2022 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Bersatu serah memorandum tubuh RCI siasat projek LCS
August 10, 2022
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok