
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan keputusan UMNO meluluskan usul semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan tertinggi parti itu adalah mengikut Perlembagaan parti.
Presiden UMNO itu berkata usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu dibuat mengikut proses yang bersandar peraturan sedia ada, namun beliau menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menentukan keabsahan usul tersebut selepas dua ahlinya membuat aduan baru-baru ini.
“Kita ikuti semua proses mengikut Perlembagaan UMNO dan peraturan mesyuarat telah diikuti oleh pengerusi persidangan. Semua langkah itu adalah mengikut peraturan.
“Jika ada sebarang aduan yang dibuat pada RoS, UMNO sangat terbuka untuk mereka kemukakannya,” katanya menurut laporan Bernama.
Jelasnya, laporan mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang perlu diabsahkan agar dapat menghentikan segala spekulasi dalam kalangan segelintir ahli yang tidak berpuas hati.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sepertimana termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966, sudah menjadi ketetapan kepada mana-mana pertubuhan berdaftar untuk mengemukakan laporan persidangan kepada RoS.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu berkata laporan berkenaan bukanlah bagi tujuan kelulusan sebaliknya untuk pemakluman.
Pada Jumaat lepas, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang.
Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom meminta RoS menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.
Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Pada 14 Jan lepas, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti akan datang.