Keputusan tarik diri oleh Ali Biju langkah terpuji, kata Muhyiddin

Keputusan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak Datuk Ali Biju untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lepas disifatkan sebagai langkah terpuji.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu juga adalah demi menghormati hubungan setiakawan yang terjalin antara parti itu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Bagi saya, pengorbanan yang dilakukan oleh Datuk Ali Biju adalah amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara saya dan Yang Amat Berhormat Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara Bersatu dan GPS di Sarawak.

“Ini termasuk persefahaman bahawa Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 di Sarawak,” katanya lapor Bernama.

Ali Biju hari ini mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dan menginsafi hakikat bahawa keputusannya bertanding di kerusi itu akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan GPS.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menyambut baik sokongan Ali Biju kepada calon-calon GPS yang bertanding di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong, yang kesemuanya berada di bawah Parlimen Saratok.

BERITA BERKAIT
POPULAR