
Menteri Dalam Negeri sementara, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebarang keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dibuat secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengulas mengenai isu permohonan pindaan Perlembagaan UMNO.
Menteri Dalam Negeri itu berkata buat masa ini pihak RoS masih belum mengeluarkan surat balas kepada UMNO berhubung permohonan yang dibuat parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti mereka sehingga berakhir pilihan raya umum (PRU) depan.
“Buat masa ini saya difahamkan ROS belum keluarkan surat lagi.
“Keputusan ROS adalah keputusan yang dibuat mereka secara bebas,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Beliau terdahulu menghadiri program Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di Putrajaya.
UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.
Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.
Tinggal beberapa hari menjelang tarikh akhir 16 Julai ini untuk RoS memuktamadkan keputusannya terhadap permohonan dibuat UMNO sebelum ini.
Perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung Khas 15 Mei lalu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk membuat pindaan perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman selepas pilihan raya umum (PRU).