Keputusan RoS bakal memihak kepada UMNO untuk tangguh pemilihan: Sumber

July 15, 2022 · Politik

Esok merupakan hari terakhir bagi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memuktamadkan keputusan berhubung permohonan UMNO meminda Perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan parti tersebut selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Walaupun keadaan nampak genting kerana RoS masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung permohonan UMNO, bagaimanapun sumber dalaman memberitahu berkemungkinan besar permohonan tersebut akan diluluskan dan tidak perlu mengadakan pemilihan parti.

Pelbagai spekulasi dibuat memandangkan sehingga hari ini RoS masih tidak memberi jawapan kepada UMNO, malah beberapa pimpinan utama parti sudah mengeluarkan kenyataan sekiranya tidak diluluskan maka pemilihan parti akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Untuk rekod, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan juga baharu mengesahkan masih belum menerima sebarang jawapan daripada badan yang menjaga pertubuhan tersebut setakat hari ini.

Terdahulu juga, Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu jika permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, parti akan mengadakan mesyuarat seperti dijadualkan pada hujung November dan pemilihan juga turut akan diadakan.

“Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lulus notis pindaan perlembagaan UMNO, mesyuarat akan berjalan seperti biasa tanpa ada agenda pemilihan jawatan.

“Jika ROS tidak luluskan, mesyuarat juga akan diadakan seperti dijadualkan dan akan ada pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat.

“Pemilihan juga tidak lagi diadakan di Perhimpunan Agung UMNO. Jawatan untuk bahagian dan pusat dibuat pemilihan serentak di mesyuarat perwakilan UMNO bahagian,” katanya dipetik laporan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa peristiwa di belakang tabir yang umum tidak mengetahui, khususnya perbincangan antara pemimpin atasan UMNO berhubung keputusan RoS beberapa hari sebelum ini.

Malah, sumber memberitahu permohonan untuk menangguhkan tersebut sebenarnya sudah mendapat lampu hijau dan restu.

Menurut sumber, RoS tidak mempunyai alasan kukuh untuk menyekat pindaan Perlembagaan yang dibuat UMNO memandangkan semua prosedur sudah dipatuhi dan dibuat mengikut proses yang teratur.

“Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana RoS akan memberi kelulusan kepada UMNO, pemimpin tertinggi sudah berjumpa dan berjaya mencapai titik pertemuan demi menjaga kepentingan parti agar tidak berpecah,” kata sumber itu.

Bagaimanapun sumber tidak mendedahkan nama pemimpin atasan UMNO tersebut, tetapi difahami ia melibatkan pemimpin yang terdiri daripada “Top 5” parti.

Langkah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO Khas pada Mei lalu adalah jalan terbaik dan ia sememangnya mengikut garis panduan yang terdapat dalam Perlembagaan parti tersebut.

Perwakilan UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan beberapa resolusi untuk membuat pindaan perlembagaannya, termasuk membenarkan pemilihan dalaman selepas PRU.

Notis pindaan perlembagaan itu dikemuka kepada RoS pada 17 Mei lalu manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, RoS mempunyai masa hingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan.

Beliau juga berkata, parti ada perancangan lain atau Pelan B jika mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pemilihan parti sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak mahu mendedahkan butiran Pelan B yang dirancang UMNO sekiranya pemilihan parti tidak diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kami (ahli Majlis Tertinggi (MT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan RoS. UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Agenda Daily sebelum ini mendedahkan Pelan B yang dimaksudnya tersebut berkemungkinan bakal mencetuskan satu lagi krisis politik yang baharu seperti berlaku tahun lalu.

Berita berkaitan
Reka bentuk pun belum siap, bagaimana Hisham boleh kata LCS akan siap setahun dua?
4 jam lalu· Isu semasa
BN umum keputusan permohonan parti Zuraida minggu hadapan: Tok Mat
23 jam lalu· Politik
Rafizi senaraikan punca kos kapal tak siap naik tiga kali ganda
24 jam lalu· Politik
Semua petugas SPR negeri sudah bersedia hadapi PRU-15, kata Pengerusi
August 9, 2022· Politik
Popular
Lebih baik GTA sertai PN
August 9, 2022
Prihatin Rakyat kekal jadi falsafah perjuangan PN, kata Muhyiddin
August 9, 2022
Rafizi senaraikan punca kos kapal tak siap naik tiga kali ganda
August 9, 2022
UMNO Johor sedia tunggu berentap dengan Rafizi, kata Hasni
August 9, 2022
Lagi Politik terkini
UMNO Sabah mula minta senarai calon PRU-15
4 jam lalu · Politik
Lebih baik GTA sertai PN
17 jam lalu · Politik
Prihatin Rakyat kekal jadi falsafah perjuangan PN, kata Muhyiddin
17 jam lalu · Politik
RUU antilompat parti tak terpakai kepada Ahli Dewan Negara: PM
August 9, 2022 · Politik
UMNO Johor sedia tunggu berentap dengan Rafizi, kata Hasni
August 9, 2022 · Politik
Video / Foto
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022
[VIDEO] Jentera UMNO diarah mantap persiapan hadapi PRU-15
August 5, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok