
Bekas Naib Presiden Rafizi Ramli yang menang kerusi Timbalan Presiden PKR adalah gandingan terbaik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata calon yang menang jawatan naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad.
Keputusan pemilihan PKR 2022 yang diumumkan secara tidak rasmi semalam (29 Mei) adalah isyarat jelas daripada ahli parti yang menolak politik jalan pintas menerusi strategi ‘khemah besar’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sebaliknya, ahli parti mengharapkan PKR memperkukuhkan gabungan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali mengetepikan pembaharuan, keadilan serta semangat berbilang kaum.
Konsep ‘khemah besar’ yang dicadangkan PH sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan, sama ada UMNO, Bersatu atau PAS, sebaliknya penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU-15.
PH juga sebelum ini menyarankan pakatan itu membuka pintu rundingan dan perbincangan, termasuk kepada Bersatu dan PAS bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan pemilihan PKR 2020 yang diumumkan secara tidak rasmi semalam adalah bukit bahawa ahli parti itu menolak strategi ‘khemah besar’.
“Ahli parti telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan PH sedia ada.
“Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.
“Mereka telah mengundi kita untuk membentuk manifesto yang meyakinkan dan akan memberi harapan kepada rakyat – terutamanya pengundi atas pagar,” katanya yang turut menang kerusi naib presiden bersama tiga lagi calon.
Tiga yang lain ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang.
Sehubungan itu, Nik Nazmi berkata barisan kepemimpinan baharu PKR perlu bertindak balas terhadap isyarat yang diberikan itu, khususnya bagi menghadapi PRU-15.
Pada masa sama beliau juga menyifatkan gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli adalah tiket terbaik untuk PKR menghadapi PRU-15.
Anwar sebelum ini menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Rafizi menang kerusi timbalan presiden mengalahkan seorang lagi calon yang juga Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nik Nazmi berkata masa depan parti juga lebih positif kerana Rafizi berusia 44 tahun; Amirudin (42); Lih Kang (41) dan beliau sendiri 40 tahun.
“Proses ini boleh menjadi lembaran baharu untuk parti kita,PKR menandakan pembaharuan dan dedikasi terhadap perjuangan reformasi,” katanya.