
Enakmen antilompat parti diluluskan DUN Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pulau Pinang akan berbincang Jumaat ini berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan perkara yang dibawa oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang berkaitan isu itu.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat pada hari Jumaat untuk membincangkan tindakan seterusnya,” kata Chow dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia selaras dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.
Pada 12 April tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad membenarkan permohonan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk soalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendengar dan memutuskan kewajaran perlembagaan negeri itu berhubung enakmen antilompat.
DUN dan speakernya mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah terbatal kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Empat Adun, Zulkifli Ibrahim (Bersatu-Sungai Acheh), Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bersatu-Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Bersatu-Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya empat orang itu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.
Keempat-empat mereka diminta mengosongkan kerusi DUN masing-masing kerana tidak lagi berada di bawah Pakatan Harapan (PH).
Bersatu meninggalkan gabungan PH pada 2020 yang bermakna Khaliq dan Zolkifli bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri yang memerintah, manakala Zulkifli dan Dr Afif dipecat daripada PKR sebelum mereka kemudiannya menyertai Bersatu.
Perkara 14A(1) perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada atau berhenti menjadi ahli parti.