Keputusan dasar UMNO perlu dibawa ke Perhimpunan Agung, kata ROS

Sebarang keputusan dasar UMNO yang ingin diputuskan perlu dibawa ke Perhimpunan Agung terlebih dahulu dan Majlis Tertinggi (MT) tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Majlis Tertinggi kini yang sudah tamat mandat pada 30 Jun lalu kini hanya berfungsi sebagai caretaker sehingga selesai pemilihan dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang masih belum dijalankan, kata Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim.

“Pada masa ini (kepemimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia (kini) lebih kepada caretaker sahaja,” katanya dipetik dalam laporan Utusan Online.

Jasri juga berkata pihaknya sudah menerima surat dihantar UMNO semalam yang menjelaskan keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan yang mana ROS berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam penelitian pihak ROS dan kandungan surat tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum kerana memerlukan penilaian daripada sudut aspek perundangan.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada pihak UMNO bahawa isu ini straight forward sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu,” katanya.

Namun, menurut Jasri pihak UMNO masih tidak memberi tarikh baharu pemilihan parti seperti yang diarahkan oleh ROS baru-baru ini.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baru pemilihan parti dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang akan diadakan,” katanya.

ROS pada Ahad lalu menyarankan UMNO mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pelaksanaan pemilihan hanya dibenarkan ditangguhkan sebelum 31 Disember.

Jelasnya lagi, keputusan menangguhkan pemilihan parti itu tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

ROS sebelum ini berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti itu tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MT tamat sebelum keputusan itu dibuat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengatakan keputusan itu dibuat ketika ahli MT Umno masih memegang jawatan.

BERITA BERKAIT
POPULAR