
Anthony Loke berterima kasih kapad Ahmad Maslan selepas menggesa ahlinya mengundi DAP pada PRN nanti.
Langkah Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli UMNO menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah logik, kata Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP itu berkata ia bukan satu masalah apabila sesebuah parti berada dalam satu gabungan kerajaan meminta ahli-ahlinya untuk menyokong parti komponen lain sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau pun Barisan Nasional (BN).
“Itu adalah satu kenyataan yang logik, sebab apabila kita bekerjasama bekerjasama sudah tentu rakan-rakan komponen dalam sesuatu gabungan itu akan menyokong satu sama lain.
“Sama juga pemimpin PH masa berkempen pada PRN nanti juga akan meminta penyokong-penyokong kita menyokong calon Barisan Nasional, di kawasan (kerusi) PH tidak bertanding,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Loke juga berterima kasih kepada Mat Maslan susulan kenyataannya yang meminta ahli UMNO menyokong mereka dalam PRN nanti.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu menggesa ahli partinya supaya menyokong calon DAP dalam PRN demi mengukuhkan “kerajaan perpaduan”.
Ini diikuti oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching yang menggesa ahli partinya menyokong calon UMNO
PRN tahun ini akan diadakan berlatar belakangkan penggabungan DAP dan Umno, dua parti yang menuduh antara satu sama lain cuba meniupkan sentimen perkauman.
Walaupun penganalisis menjangkakan DAP akan mengekalkan penguasaan di kerusi tradisinya dengan pengundi Cina terbesar, UMNO akan menyokong dengan harapan untuk memulihkan semula imej parti itu susulan kekalahan besar dalam pilihan raya umum tahun lepas.
UMNO hilang sebahagian besar kubu kuatnya kepada Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam tsunami politik Melayu yang menolak parti Melayu tertua itu.