
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.
Parti Amanah tidak ada membuat pendirian menolak pengampunan Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Mohammad Sabu.
Presiden Amanah itu terpaksa memberi penjelasan susulan kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad baru-baru ini yang tidak bersetuju sekiranya Najib diampunkan oleh Lembaga Pengampunan.
“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi. Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.
“Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ia adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti.
“Parti Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH tertakluk kepada keputusan PH yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjelasan Mat Sabu itu secara tidak langsung menunjukkan kenyataan Khalid itu bukan pendirian rasmi parti itu berhubung isu pengampunan Najib.
Jelasnya lagi, keputusan untuk mengampunkan Najib terletak sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam kes melibatkan Najib, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan.
“Dalam masa sama, kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” katanya lagi.