Kenapa tidak dulu lagi Mazlan keluar Bersatu? Tapi tunggu PRN

Bersatu Bahagian Tebrau menyifatkan tindakan bekas ketuanya Mazlan Bujang keluar daripada parti itu hanya sekadar permainan dalam politik yang kerap berlaku, terutama menjelang sesuatu pilihan raya.

Ia sedikit pun tidak menjejaskan perjalanan bahagian itu, malah dakwaan mengatakan 23 Ahli Jawatankuasa Bahagian turut meletak jawatan adalah tidak benar.

Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Kamaruzzaman Abu berkata seharusnya Mazlan mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, lapor Bernama.

Beliau berkata Mazlan juga telah berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Januari lalu, untuk persediaan bahagian itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sebelum pengumuman PRN.

“Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang. Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti, serta meletakkan jawatan.

Beliau berkata hal ini berikutan hanya enam sahaja ahli jawatankuasa yang berbuat demikian, dan setakat ini Bersatu Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli melibatkan sebanyak 17 cawangan.

Kamaruzzaman berkata meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pimpinan Bersatu Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan mendakwa kononnya melihat masa depannya lebih yang cerah jika memberi sokongan kepada Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan Barisan Nasional.

BERITA BERKAIT
POPULAR