
Kenapa nak tunggu menang baru serah bukti, kata Tengku Zafrul kepada Rafizi.
Rafizi Ramli tidak perlu tunggu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menyerahkan bukti terhadap dakwaannya berhubung isu projek yang diluluskan Kementerian Alam Sekitar dan Air baru-baru ini.
Jika benar dakwaan tersebut, sepatutnya pemimpin PKR itu membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya dengan mengadakan sidang media untuk menyerang pihak lawan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedang berjalan.
“Kalau ada bukti pelanggaran, buat laporan kepada SPRM dan kemuka bukti. Kenapa harus tunggu menang PRU.
“Semua perolehan dibuat mengikut peraturan sedia ada,” kata Menteri Kewangan kerajaan sementara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ciapan di akaun Twitternya.
Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Rafizi yang juga calon Parlimen Pandan itu hanya membuat fitnah bagi menjatuhkan reputasi musuh politiknya.
Rafizi semasa sidang media pada 11 November 2022 tidak menunjukkan sebarang bukti terhadap tuduhannya berhubung penganugerahan projek bernilai RM2 bilion.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS dalam satu kenyataan hari ini (12 November 2022) berkata Rafizi memberitahu akan menjawab kenyataannya dan mengemukakan bukti kukuh tentang tuduhan dibuatnya.
“Namun, Rafizi telah membuat sidang media pada 11 November 2022 pada jam 10.30 pagi bertujuan kononnya untuk menjawab tuntutan yang saya kemukakan dan memberi bukti kukuh tentang tuduhan yang beliau lakukan terhadap saya.
“Bagaimanapun, terbukti bahawa sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai pihak bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim berkata dalam sidang media itu, Rafizi menyatakan bahawa surat bertarikh 7 Oktober 2022 dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memaklumkan keputusan Menteri Kewangan meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.
“Berdasarkan kepada Surat tersebut, adalah jelas bahawa kelulusan tersebut bukanlah dibuat oleh saya ataupun KASA. Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum Parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara (caretaker).
“Sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal sama sekali mendedahkan bukti keterlibatan saya dalam kelulusan projek termasuk usaha saya atau KASA untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara (caretaker).
“Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara (caretaker) ke arah menganugerahkan projek tersebut,” jelas Tuan Ibrahim.
Dalam pada itu, Zafrul yang juga calon Parlimen Kuala Selangor berkata surat tuntutan (LOD) juga sudah dihantar kepada Rafizi dan menunggu kes tersebut dibicarakan di mahkamah atau tidak.
“Tuan Ibrahim pun dah serah LOD kepada Rafizi Ramli. Kita tunggu sama ada kes ini dibicarakan di mahkamah atau tidak,” katanya lagi.