Kenapa mahu angkat ‘Kluster Mahkamah’ jadi Timbalan Speaker?

Heboh diperkatakan Ahli Parlimen (MP) Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah tidak menunjukkan minatnya apabila meletak jawatan Timbalan Speaker sebelum ini.

Hanya dengan mencadangkan usul untuk melakukan reformasi Parlimen, parti yang pernah menuduhnya pembohong, DAP, segera ‘menjilat ludah mereka’ memberi sokongan padu kepada cadangan melantik Azalina sebagai Speaker Parlimen.

DAP dan beberapa sekutu mereka menuduh speaker sekarang Datuk Azhar Azizan Harun – individu bukan MP – mengikut telunjuk kerajaan, tetapi mereka yakin MP Pengerang yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu tidak akan mengikut telunjuk kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO.

Pada masa sama juga, muncul khabar angin bahawa Azhar akan kekal sebagai Speaker, tetapi parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN bersetuju melantik MP Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker mengisi kekosongan kerusi ditinggalkan Azalina.

Ada laporan mengatakan Azhar kekal seperti biasa, masih Speaker Dewan Rakyat. Jawatan Timbalan Speaker yang dikosongkan Azalina akan diisi Ahmad. Itu cadangan setakat ini, tetapi kita tidak tahu jika pembangkang ada hantar calon nama lain atau tidak.

Namun tidak pasti sama ada PN benar-benar memberi sokongan kepada Setiausaha Agung UMNO itu untuk menduduki kerusi Timbalan Speaker Parlimen.

Ini kerana Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperingatkan bahawa sokongan diberikan kepada Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri ke-9, antara lainnya dengan syarat tidak memberi peluang ‘kluster mahkamah’ dalam jawatan menteri.

Memang Ahmad tidak dilantik sebagai menteri, hanya dicadangkan untuk jawatan Timbalan Speaker Parlimen, namun antara syarat lain diberikan PN kepada Ismail Sabri ialah:

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau (Ismail Sabri) juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.”

Ahmad diletakkan dalam Kluster Mahkamah setelah berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi kerana gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Untuk rekod, Kluster Mahkamah adalah kelompok pemimpin UMNO yang kini berdepan tuduhan di mahkamah berkaitan kes-kes rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram ketika parti itu mentadbir negara sejak merdeka hingga kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu.

Antara yang berdepan puluhan pertuduhan jenayah itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Presiden UMNO, Najib, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azeez Rahim, dan bekas MP UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Sebelum ini, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.

Namun Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonannya supaya kes tersebut dipindah dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahmad Maslan tidak mengaku salah atas semua pertuduhan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR