Kenapa ‘Langkah Pan Pacific’ Zahid dengan cikgu masih belum berjaya?

November 23, 2022 · Politik

Penyokong Pakatan Harapan (PH) begitu teruja sebaik mendengar berita Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) akan berkumpul di Hotel Pan Pacific sebelah pejabat UMNO pada Isnin dengan harapan akan mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan bersama.

Lebih mengejutkan, MP PH dengan tidak tahu malunya juga turut berkumpul di hotel sebelah bangunan UMNO tersebut dengan berharap anak murid Presiden PKR, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat memujuk semua MP BN untuk membentuk kerajaan campuran dengan mereka.

Isu maruah dan prinsip diketepikan sama sekali pemimpin PH, malah lebih memalukan pemimpin utama mereka seperti Rafizi Ramli, Mohamad Sabu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa yang lain turut berada di hotel tersebut pada Isnin.

Semua nama tersebut adalah penentang tegar UMNO, malah rakyat pasti tidak lupa kata cacian dan makian oleh pemimpin PH tersebut terhadap UMNO-Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen pada PRU-15 baru-baru ini.

Rafizi dalam ceramahnya berdegar-degar mengkritik Zahid dengan pelbagai label dan cacian, malah gelaran “mat sakau” kepada Zahid juga terhasil daripada mulut para pemimpin PH sebelum ini.

Bagaimanapun selepas berakhir PRU-15 dan disebabkan gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan, semua kritikan dan cacian tersebut dilupakan demi cita-cita untuk memastikan bos mereka, Anwar tidak lagi menjadi Perdana Menteri (PM) ‘tepi’.

Demi cita-cita dan matlamat peribadi bos mereka tersebut, segala prinsip dan tanggungjawab terhadap rakyat diketepikan atas alasan kononnya untuk mewujudkan kestabilan politik.

Adakah Rafizi dan Anwar menganggap dengan bekerjasama dengan Zahid untuk membentuk kerajaan akan dapat mewujudkan kestabilan politik? Adakah Rafizi dan Anwar lupa siapa sebenarnya punca ketakstabilan politik? Siapa sebenarnya yang mendesak untuk membubarkan Parlimen semasa musim banjir dan tergesa-gesa?

Sebelum mahu melamar Zahid untuk bekerjasama dan membentuk kerajaan, sepatutnya Anwar dan Rafizi perlu meneliti terlebih dahulu dan tidak tergopoh-gapah terus berunding dengan Zahid yang diketahui umum adalah punca kepada segala kemelut politik negara yang berlaku ketika ini.

Namun, demi kuasa dan cita-cita seorang insan bernama Anwar, semua aspek moral dalam politik tidak dihiraukan dan apa yang lebih penting adalah untuk menjadi kerajaan semata-mata.

Nampaknya rakyat sudah dapat melihat wajah sebenar pemimpin PH seperti Rafizi dan Anwar, menipu mandat rakyat dan sanggup bersama dengan ‘ketua sakau’ demi semata-mata mahu mendapatkan kuasa.

Anwar begitu mengharapkan perjumpaan dengan MP BN di Pan Pacific pada Isnin dapat memuktamadkan sokongan daripada gabungan parti diketuai anak muridnya itu untuk terus menjadi PM ke-10.

Tidak kisahlah dilabel menjilat ludah sekalipun, nampaknya Anwar sudah tidak tahan lagi untuk terus kempunan dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita peribadinya yang selama ini gagal dicapai.

Malangnya, langkah Pan Pacific tidak berjalan lancar seperti Langkah Sheraton sebelum ini dan menjadi tempang apabila tidak semua MP BN yang hadir ke perjumpaan tersebut.

Ternyata Anwar begitu kecewa dengan anak muridnya apabila gagal menjalankan misi tersebut dengan baik, malah beberapa MP BN selepas perjumpaan pada Isnin mendakwa mereka ditipu oleh Pengerusi BN tersebut.

Zahid semakin terdesak selepas kekalahan teruk BN, tiada pilihan lain yang ada melainkan memujuk MP BN untuk menyokong kerjasama dengan cikgunya itu dan jilat ludah sekalipun sanggup asalkan tidak menerima nasib sama seperti rakannya, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, perancangan seseorang manusia belum tentu dapat melawan rancangan yang maha Esa. Manusia hanya boleh merancang tetapi Allah jua menentukannya.

Menyedari gagal melunaskan janjinya kepada Anwar, Zahid semakin tersepit apabila akar umbi mula menghidu gerakan dan strategi jahat dirancang Zahid.

Pada hari sama, sekumpulan ketua-ketua bahagian UMNO berkumpul di sebelah hotel dan mengadakan sidang media membidas langkah diambil Zahid yang cuba mengahwinkan BN dengan PH untuk duduk sekatil berkhalwat bersama.

Langkah berkhalwat BN-PH yang dirancang Zahid tidak mendapat restu akar umbi kerana terasa geli dan hina untuk duduk berdampingan dengan DAP dan Anwar, malah ia melanggar sama sekali ketetapan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

Menyedari strateginya tidak berjalan dengan baik, Zahid terpaksa mengambil langkah untuk memujuk MP BN dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah kononnya mahu membentuk kestabilan politik selepas PRU-15.

Bagaimanapun, Zahid jangan pula lupa siapa sebenarnya yang menjadi punca politik negara tidak stabil, bukankah dirinya sendiri yang menyebabkan negara huru-hara sehingga terpaksa mengadakan PRU-15 semasa musim banjir.

Bukankah Zahid sendiri yang menjadi punca kerajaan sebelum ini bertukar kerajaan beberapa kali dan bukankah Zahid juga yang menyebabkan kerajaan jatuh sebelum ini?

Alasan kestabilan politik adalah tidak masuk akal sekali dan Zahid tidak layak untuk bercakap demikian, malah cikgunya juga tidak layak untuk bercakap mengenai kerajaan perpaduan.

Untuk apa kerajaan perpaduan jika hanya semata-mata mahu memuaskan nafsu seorang individu yang mahu menjadi PM semata-mata?

Zahid juga semakin ‘jam’ dan tidak keruan apabila cikgunya ditanya wartawan berhubung kes mahkamah yang dihadapi Zahid memandangkan tiada komitmen dinyatakan untuk membantunya melepaskan diri daripada pertuduhan di mahkamah yang sedang dihadapi.

Anwar tidak memberi sebarang komitmen untuk melepaskan Zahid daripada kes mahkamah dihadapinya, kenyataan tersebut nyata menyebabkan Zahid semakin tersepit dan menjadi tidak keruan.

Jadi, Zahid akhirnya terpaksa mengambil langkah untuk menarik sementara daripada memberi sokongan kepada Anwar, malah MP BN juga sudah semakin muak dengan teletah Zahid yang seakan menggunakan parti sebagai perisai dirinya sendiri.

Yang pasti, langkah Pan Pacific tidak menjadi kenyataan kerana Anwar tidak memberi komitmen secara jelas untuk membebaskan Zahid, ia menyebabkan Zahid tersentak dan cuba bermain tarik tali bagi melihat pihak mana yang akan memberi tawaran yang lebih lumayan kepada mereka.

Malahan, BN juga sudah dua kali menangguhkan daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong atas alasan kononnya tidak dapat membuat keputusan.

Adakah benar BN tidak dapat membuat keputusan atau sebenarnya Zahid yang sedang menunggu tawaran yang lebih lumayan dan memberi kelebihan kepadanya?

Jika begitu lah keadaannya, elok lah Zahid yang meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan beliau boleh memberi sokongan seorang diri kepada Anwar dan PH.

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Saya tolak tawaran Anwar untuk jadi menteri, kata Gobind
10 jam lalu· Politik
Shahidan sindir MP UMNO-BN dipinggir daripada Kabinet, hampa kena game?
11 jam lalu· Politik
Terbukti sudah, demi kuasa dan kemaruk nak jadi PM prinsip pun dicampak 
22 jam lalu· Politik
Lantik menteri ada kes mahkamah, kerajaan sekarang sudah songsang: Sanusi
22 jam lalu· Politik
Popular
Shahidan sindir MP UMNO-BN dipinggir daripada Kabinet, hampa kena game?
December 3, 2022
Ingat nak hantar Zahid ke penjara, rupanya ke Putrajaya: PH kena sindir
December 3, 2022
DAP tak puas hati komposisi menteri UMNO lebih ramai, tapi menang sikit
December 3, 2022
Reformasi apa jika Anwar turut pegang Kementerian Kewangan?
December 3, 2022
Lagi Politik terkini
Zahid hadapi tuduhan rasuah, tak patut dilantik jadi TPM: BERSIH
10 jam lalu · Politik
Ingat nak hantar Zahid ke penjara, rupanya ke Putrajaya: PH kena sindir
11 jam lalu · Politik
DAP tak puas hati komposisi menteri UMNO lebih ramai, tapi menang sikit
14 jam lalu · Politik
Kewibawaan Kabinet Anwar terjejas setelah Zahid dilantik TPM: IDEAS
15 jam lalu · Politik
Kehancuran total pun mungkin tak mampu insafkan UMNO: Mokhtar
16 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Jangan berkira duit balik mengundi demi bangsa dan agama
December 3, 2022
[VIDEO] Ucapan Sanusi di PRK Padang Serai
December 3, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok